comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Ringgit meningkat berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi awal urus niaga pagi ini sementara para pelabur pula masih menantikan pengeluaran data senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) lewat hari ini.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.5990/6030 berbanding dolar AS daripada penutupan Khamis pada paras 4.6110/6165.

Peniaga ActivTrades Dyogenes Rodrigues Diniz berkata pelabur masih belum pasti mengenai hala tuju menjelang pengeluaran data senarai gaji bukan ladang AS.

“Dari sudut teknikal, penunjuk Indeks Kekuatan Relatif (RSI) menunjukkan bahawa dolar AS/ringgit berada dalam keadaan terlebih beli dan ringgit boleh meningkat lebih jauh sekiranya pergerakan berjaya menembusi paras 4.5860.

“Jika itu berlaku, gandingan dolar AS/ringgit boleh mencapai 4.5260,” katanya dalam satu nota.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit boleh stabil dan diunjur mencatatkan sedikit peningkatan, didorong oleh perkembangan positif mengenai had hutang AS.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Loading...
Terkini