
KUALA LUMPUR: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan prospek ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berhati-hati mendorong lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang selamat, kata ahli ekonomi.
Pada 9.17 pagi, ringgit diniagakan rendah kepada 4.7200/7250 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.14 peratus kepada 105.906.
Begitu juga, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 2 tahun dan 10 tahun, masing-masing merosot 4.0 mata asas kepada 4.71 peratus dan 4.29 peratus berikutan pengukur inflasi pilihan dijangka turun pada Mei.
“Anggaran konsensus menambat indeks harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) pada 2.6 peratus pada Mei daripada 2.8 peratus pada bulan sebelumnya,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata Presiden Federal Reserve Bank of Atlanta Raphael Bostic membayangkan Rizab Persekutuan AS mungkin cenderung untuk menurunkan kadar faedah yang menjadi penanda aras apabila inflasi terus mencatatkan penurunan.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama dalam dagangan awal.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.