comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Risiko politik, pelabur asing jual bon Malaysia

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pelabur asing kekal penjual bersih dalam pasaran sekuriti hutang Malaysia untuk bulan kedua berturut-turut pada Oktober dengan sebanyak RM6.3 bilion, aliran keluar terbesar dalam 32 bulan berikutan peningkatan risiko politik, demikian kata Kenanga Research.

Ia berkata, aliran keluar itu berikutan jualan besar-besaran meluas bon kerajaan, diterajui oleh Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII).

“Secara keseluruhan, pasaran modal merekodkan aliran keluar bersih terbesar sejak Mac 2020 (-RM6.9 bilion; September -RM2.1 bilion).

“Pasaran hutang mungkin menyaksikan pengaliran keluar selanjutnya dalam jangka masa terdekat namun boleh reda dengan penyelesaian kuasa yang lancar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya dalam nota penyelidikannya.

Mengulas lanjut, Kenanga Research berkata, permintaan asing untuk bon Malaysia berkemungkinan akan terus menerima tekanan dalam jangka masa terdekat, berikutan penghindaran risiko global yang berterusan dan peningkatan ketidaktentuan politik domestik.

Ia berkata, aliran keluar bon mungkin berkurangan berikutan resolusi PRU15, tetapi ia bergantung kepada pembentukan pantas kerajaan dan mengelakkan Parlimen yang tergantung.

“Aliran masuk asing mungkin tidak kembali sehingga sentimen risiko global bertambah baik dengan ketara, dan ini sangat bergantung kepada Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) menghentikan kenaikan kadar.

“Kami masih menjangkakan kebanyakan bank pusat utama akan melengkapkan kitaran pengetatan mereka menjelang suku kedua 2023, yang boleh mencetuskan kembalinya sentimen risiko global dan pemulihan kukuh dalam aliran bon,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini