Tumpuan :
Detik Niaga

Rumah bawah RM300,000 jadi pilihan pembeli

Sebanyak 108,955 transaksi harta tanah bernilai RM57.15 bilion direkodkan pada suku ketiga 2023.  – Gambar fail NSTP

KUALA LUMPUR: Kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah masih menguasai aktiviti pasaran dengan merekodkan 52.4 peratus atau hampir 35,948 transaksi pada suku ketiga 2023, diikuti kediaman berharga RM300,001 hingga RM500,000 sebanyak 24.7 peratus (16,947 transaksi) dan selebihnya unit berharga RM500,001 ke atas iaitu 15,666 (22.9 peratus) transaksi.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Abdul Razak Yusak, berkata kediaman teres masih menjadi pilihan pembeli dengan memperoleh 29,755 transaksi, sekali gus menyumbang sebanyak 43.4 peratus daripada keseluruhan transaksi kediaman.

Beliau berkata, aktiviti pasaran harta tanah pada suku ketiga 2023 menunjukkan pertumbuhan positif dengan mencatatkan 108,955 transaksi bernilai RM57.15 bilion.

Katanya, peningkatan bilangan sebanyak 3.7 peratus itu diimbangi dengan kenaikan ketara nilai iaitu 22.6 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan pertambahan pindah milik menerusi jualan utama dalam negara.

“Subsektor kediaman terus menyokong keseluruhan aktiviti pasaran harta tanah dengan mencatat 62.9 peratus iaitu 68,561 transaksi bernilai RM28.36 bilion daripada keseluruhan transaksi.

“Ini diikuti dengan sumbangan subsektor pertanian sebanyak 18.5 peratus dan gabungan subsektor perdagangan dan subsektor lain iaitu 18.6 peratus,” katanya ketika berucap bersempena dengan penerbitan pasaran harta tanah suku ketiga 2023 dan pelancaran Data Transaksi Terbuka Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) secara dalam talian, hari ini.

Menurut Abdul Razak, pelancaran kediaman baharu pada suku ketiga merekodkan peningkatan hampir 6,900 unit berbanding 4,797 unit pada suku kedua 2023.

Prestasi jualan pelancaran baharu pula berjumlah 37.6 peratus berbanding 24.7 peratus pada suku sebelumnya dengan Selangor mencatat jumlah pelancaran baharu tertinggi di negara ini iaitu 2,491 unit atau 36.2 peratus daripada jumlah di seluruh negara.

Abdul Razak berkata, prestasi kediaman siap dibina tetapi tidak terjual bertambah baik apabila menyusut pada suku ketiga 2023 sebanyak 3.7 peratus (25,311 unit) dan nilai pada 4.9 peratus (RM17.40 bilion) berbanding suku sebelumnya.

Loading...
Terkini