comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Rumah tidak terjual dijangka meningkat

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah tempatan dijangka terus terkesan oleh situasi lebihan bekalan dan langkah pemberian pinjaman yang lebih berhati-hati oleh pihak bank.

Penganalisis berpendapat, kenaikan kadar faedah dan peningkatan kos pembinaan juga memberi tekanan kepada kemampuan untuk memiliki rumah di tengah-tengah nisbah hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) yang tinggi di negara ini.

Kenanga Research dalam nota penyelidikannya berkata, ketidaktentuan makro dijangka berterusan dan persekitaran operasi bagi pemaju kekal mencabar.

Ia berkata persekitaran mencabar bagi pemaju dapat dilihat menerusi indeks harga rumah Malaysia (HPI) yang mendatar dalam beberapa tahun lalu dengan menguncup pada suku kedua tahun semasa 2022 meskipun kenaikan kos pembinaan dan tanah.

Katanya, kadar kelulusan pinjaman kekal rendah pada sekitar 37 peratus setakat separuh pertama 2022 berbanding 43-52 peratus ketika kitaran meningkat pada 2011-2014 dan kemampuan memiliki rumah terkesan oleh kenaikan kadar faedah dan peningkatan kos pembinaan.

“Kos pembinaan yang tinggi juga diterjemahkan kepada harga jualan tinggi, meletakkan daya maju pelancaran baharu dalam risiko,” katanya.

Mengenai trend pasaran, Kenanga Research berkata, berdasarkan penerbitan terkini suku kedua 2022 oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), menunjukkan terdapat sedikit pengurangan unit dalam edaran termasuk unit dalam pembinaan yang tidak terjual dan unit siap tidak terjual berbanding paras tertinggi yang dicatatkan pada 2021.

Walaupun pengurangan itu, ia perhatikan bahawa masih terdapat perjalanan yang jauh ke arah pemulihan memandangkan unit dalam edaran masih agak tinggi berbanding paras sejarah, yang mana boleh mewujudkan persaingan harga dan tekanan untuk pelancaran unit baharu.

“Di negeri-negeri utama (KL, Selangor, Pulau Pinang, Johor), kami perhatikan bahawa harga rumah teres adalah satu-satunya sub-segmen yang menunjukkan pertumbuhan sejak permulaan pandemik manakala harga rumah bertingkat tinggi dan berkembar telah menurun.

“Mengambil petunjuk daripada angka itu, kami percaya pemaju yang memfokuskan pada perbandaran atas tanah akan berkedudukan lebih baik berbanding yang lain,” katanya.

Pilihan utama Kenanga Research ialah pemaju hartanah dengan aliran tunai kukuh yang boleh memberikan dividen baik, iaitu Eco World Development Group Bhd dan IOI Properties Group Bhd.

“Kami menyukai Eco World kerana penjenamaan yang kukuh manakala IOI Properties adalah untuk nilai tersembunyi dalam pelaburan hartanah utamanya di Lembah Klang, Singapura dan China, yang berpotensi dibuka melalui REIT,” katanya. -BERITA HARIAN

Loading...
Terkini