comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saham Agricore bermula cemerlang di Bursa Malaysia

Foto: Ihsan Agricore

KUALA LUMPUR: Agricore CS Holdings Bhd memulakan dagangan sulung di Pasaran ACE Bursa Malaysia dengan cemerlang apabila sahamnya dibuka pada 79 sen, atau premium 58 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) 50 sen dengan 6.83 juta saham diniagakan pada loceng pembukaan.

Pembekal bahan makanan itu menyasarkan untuk mengembangkan asas pelanggannya dalam segmen penyediaan sumber dan pengedaran dengan meningkatkan tahap inventori di Premis Bukit Minyak dan fasiliti penyimpanan serantau baharunya di Klang, Selangor selepas penyenaraian.

Pengarah Urusan Agricore, Oon Boon Khong, berkata menerusi tahap inventori yang lebih tinggi, syarikat akan dapat memacu pertumbuhan hasilnya dengan meningkatkan jumlah jualan kepada pelanggan sedia ada serta mendapatkan pelanggan baharu.

Beliau berkata, dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 hingga tahun kewangan 2023, hasil yang dijana daripada segmen penyediaan sumber dan pengedaran mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 11.4 peratus daripada RM86.6 juta kepada RM119.8 juta, iaitu lebih 88 peratus daripada pendapatan tahunan syarikat.

“Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk mengekalkan tahap inventori yang mencukupi untuk memenuhi permintaan daripada pelanggan.

“Dengan meningkatkan tahap inventori, kumpulan akan menikmati jumlah jualan yang lebih tinggi atas permintaan daripada pelanggan sedia ada dan baharu, serta memastikan ketersediaan produk yang konsisten dan pemenuhan pesanan segera.

“Selain itu, memandangkan bekalan produk tertentu sangat bergantung pada musim serta pendedahan kepada naik turun harga barang, mempunyai tahap inventori yang lebih tinggi dalam keadaan pasaran yang tidak menggalakkan membolehkan Agricore memperoleh kelebihan daya saing dari segi bekalan dan strategi harga,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyenaraian Agricore di Bursa Malaysia, hari ini.

Agricore berjaya mengumpul RM25.9 juta daripada pelaksanaan IPO ini, terutamanya untuk membeli inventori berjumlah RM18.9 juta bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya.

Daripada hasil itu, RM2.7 juta akan diperuntukkan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanannya dengan menubuhkan fasiliti penyimpanan serantau baharu di Klang, Selangor, dengan anggaran keluasan binaan 30,000 kaki persegi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini