comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saham KL ditutup bercampur-campur menjelang keputusan mengenai kadar faedah AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia mengalami sedikit perubahan manakala pasaran lebih meluas ditutup bercampur-campur hari ini, dalam keadaan sentimen berhati-hati di seluruh rantau ini menjelang keputusan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) mengenai kadar faedah lewat hari ini, kata peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.23 mata untuk ditutup pada 1,512.98 berbanding 1,512.75 semasa ditutup pada Selasa.

Indeks barometer dibuka rendah 0.15 mata kepada 1,512.60 dan bergerak antara 1,509.55 dan 1,516.40 pada sepanjang dagangan.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 635 berbanding 401, manakala 427 kaunter tidak berubah, 799 tidak diniagakan dan 52 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan merosot kepada 3.67 bilion unit bernilai RM2.86 bilion daripada 3.78 bilion unit bernilai RM2.64 bilion pada Selasa.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama turut ditutup bercampur-campur berikutan sentimen berhati-hati disebabkan pelabur menunggu keputusan mengenai kadar faedah oleh Fed AS semasa mesyuarat pertamanya untuk tahun ini.

Fed dijangka mempertimbangkan dasar monetarinya dan membuat keputusan mengenai kadar faedah lewat hari ini selepas mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang pertama untuk tahun ini.

“Di dalam negara, kami menasihatkan pelabur untuk kekal berwaspada meskipun indeks petunjuk pasaran memperlihatkan trend aliran menaik, berikutan turun naik pasaran dan ketidaktentuan global.

“Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,500-1,520 menjelang akhir minggu ini, dengan paras rintangan segera pada 1,527 dan paras sokongan pada 1,500,” katanya kepada Bernama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini