comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saham KL ditutup positif dengan 846 kaunter untung, didorong data KDNK

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Saham-saham di Bursa Malaysia ditutup pada kedudukan positif pada Jumaat susulan pelabur menyambut baik data pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia yang mengatasi jangkaan konsensus.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.51 mata untuk ditutup pada 1,616.62 daripada 1,611.11 ketika ditutup semalam.

Indeks barometer dibuka 1.31 mata lebih tinggi kepada 1,612.42 dan bergerak di antara 1,611.93 dengan 1,619.45 sepanjang dagangan hari ini.

Kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 846 berbanding 374, manakala 497 kaunter tidak berubah, 652 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan melonjak kepada 7.23 bilion unit bernilai RM4.54 bilion daripada 6.04 bilion unit bernilai RM4.35 bilion pada Khamis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran telah didorong oleh pembelian asing yang berterusan terutama dalam saham berkaitan komoditi, telekomunikasi serta produk dan perkhidmatan pengguna.

“FBM KLCI meneruskan kenaikan kukuhnya apabila hari ini dapat melepasi linkungan turun naik di antara paras sokongan dengan rintangan yang dialami selama seminggu.

“Momentum meningkat yang kukuh ini dijangka berterusan dalam jangka masa pendek hingga pertengahan di samping memacu indeks kepada tahap rintangan seterusnya 1,620. Pencapaian di atas tahap ini boleh memberi isyarat pergerakan meningkat seterusnya,” katanya.

Hari ini, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar lebih tinggi sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 berbanding 2.9 peratus pada suku keempat 2023, didorong oleh perbelanjaan swasta yang lebih kukuh dan pertumbuhan eksport yang positif.

Sebelum ini, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan jangkaan awal bagi pertumbuhan adalah 3.9 peratus untuk suku pertama 2024, manakala unjuran median oleh tinjauan Bloomberg pada 4.0 peratus.

Pasaran domestik juga meraih rangsangan selanjutnya daripada lantunan yang dialami pasaran serantau utama yang ditutup lebih tinggi apabila pelabur tidak mengendahkan penyusutan dicatatkan Wall Street dan menumpukan pada kemungkinan pengurangan kadar faedah AS serta keuntungan kukuh daripada firma utama teknologi.

Antaranya, bursa China dan Hong Kong pulih dengan ketara selepas bank pusat China pada Jumaat mengumumkan pihaknya akan menurunkan bayaran pendahuluan yang diperlukan untuk pinjaman perumahan dan mengurangkan kadar faedah bagi pembelian rumah pertama dan kedua.

Pengumuman itu menyusuli laporan daripada pegawai di Beijing mengenai kelemahan ekonomi berterusan, terutamanya dalam sektor hartanah.

Di pasaran tempatan, saham wajaran tinggi, YTL Corp menokok 17 sen kepada RM3.82, YTL Power melonjak 21 sen kepada RM5.39 manakala Petronas Chemicals dan Maxis masing-masing meningkat 10 sen kepada RM7.00 dan RM3.72.

IHH naik enam sen kepada RM6.27 dan MR DIY menambah lima sen kepada RM1.86.

Antara saham aktif, Ingenieur naik dua sen kepada 9.5 sen, Datasonic Group menokok 5.0 sen kepada 52.5 sen, DNeX meningkat empat sen kepada 44 sen manakala Revenue turun setengah sen kepada 22.5 sen dan Top Glove tidak berubah pada RM1.20.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 72.44 mata kepada 12,308.18; Indeks FBMT 100 meningkat 64.40 mata kepada 11,906.01; dan Indeks FBM Emas Syariah naik 70.69 mata kepada 12,522.21.

Indeks FBM ACE menokok 54.44 mata kepada 5,351.22 dan Indeks FBM 70 melonjak 192.15 mata kepada 17,641.06.

Berdasarkan sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 51.97 mata kepada 17,645.61; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 1.35 mata kepada 194.82; Indeks Perladangan turun 22.16 mata kepada 7,386.78 dan Indeks Tenaga susut 0.89 mata kepada 985.95.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 4.58 bilion unit bernilai RM4 bilion daripada 3.36 bilion unit bernilai RM3.81 bilion semalam.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 1.76 bilion unit bernilai RM248.02 juta daripada 1.61 bilion unit bernilai RM250.16 juta ketika ditutup pada Khamis.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 887.54 bilion saham bernilai RM288.02 juta berbanding 1.08 bilion saham bernilai RM292.17 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 609.76 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.68 bilion), pembinaan (223.55 juta), teknologi (757.70 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (135.53 juta), hartanah (471.90 juta), perladangan (32.73 juta), REIT (19.63 juta), dana tertutup (297,700), tenaga (199.16 juta), penjagaan kesihatan (263.53 juta), telekomunikasi dan media (48.54 juta), pengangkutan dan logistik (66.95 juta), utiliti (73.93 juta) dan amanah perniagaan (166,000).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini