comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Saham Pestech jatuh selepas kontrak ganti aerotrain KLIA dibatal

Projek penggantian aerotrain KLIA amat penting bagi memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang.

KUALA LUMPUR: Saham Pestech International Bhd di Bursa Malaysia jatuh susulan penamatan kontrak anak syarikat milik penuhnya, Pestech Technology Sdn Bhd bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pada 10.22 pagi tadi, kaunter Pestech susut 2.5 sen kepada 26.5 sen dengan 23.44 juta saham bertukar tangan.

Di bawah kontrak itu, Pestech Technology diberikan tugas oleh anak syarikat MAHB, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) untuk membekal, mereka bentuk dan pemasangan penggerak penumpang automatik (APM) atau aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

MAHB dalam satu kenyataan semalam berkata, penamatan itu disebabkan Pestech tidak menunjukkan prestasi kerja memuaskan, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan dalam menyiapkan projek pada tarikh akhir yang ditetapkan.

“Keputusan ini diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM itu oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.

“Pestech didapati melanggar tanggungjawabnya di bawah kontrak dan gagal untuk membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

Sebelum ini, Pestech dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor reka bentuk dan binaan untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA bernilai RM742.95 juta pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood, berkata “Fokus kami adalah aerotrain disiapkan tepat pada masanya dan mematuhi kawalan kualiti yang ketat dan memenuhi piawaian keselamatan projek tanpa kompromi terhadap operasi dan proses tadbir urus,” katanya.

Berkuat kuasa serta-merta, MA Sepang akan mempercepatkan perundingan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sedia ada yang terbabit dalam Projek APM itu untuk kesinambungan dan bagi mengurangkan sebarang kelewatan.

Loading...
Terkini