comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

[VIDEO] Saham tempatan curi tumpuan pelabur dunia, catat aliran masuk lebih RM1 bilion


Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Tahun 2018 merupakan detik membanggakan bagi pasaran saham tempatan apabila penanda aras FBM KLCI mencecah paras tertinggi dalam sejarah iaitu 1,895.18, dipacu kemasukan dana asing ke dalam negara.

Namun, segalanya berubah ababila berlakunya pandemik COVID-19. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedahnya sebanyak lebih 5% bagi melawan kenaikan inflasi. Ketidakstabilan politik dalam negara turut menyebabkan pelabur asing meninggalkan Bursa Malaysia.

Kesannya, Bursa Malaysia menjadi tidak menentu sehingga pernah jatuh kepada 1,219.72 pada 2020.

Tahun 2024 menyaksikan pemulihan prestasi FBM KLCI apabila melepasi paras 1,600 pada Mei, dengan purata nilai dagangan harian sekitar RM3.2 bilion.

Lebih membanggakan, Malaysia adalah satu-satunya negara ASEAN yang mencatat aliran masuk asing bersih melebihi RM1 bilion pada Mei.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, utiliti, tenaga dan pembinaan adalah sektor utama pilihan pelabur asing, menepati sasaran Malaysia sebagai pusat data serantau.

“Terdapat banyak projek pembinaan dan pembelian tanah untuk pembangunan pusat data ini. Pusat data dan teknologi memerlukan penggunaan tenaga yang sangat tinggi. Itu sebab terdapat prestasi yang kukuh saham seperti YTL Power International Bhd dan Tenaga Nasional Bhd, saya fikir ini hanya permulaan,” katanya kepada BuletinTV3.

Beliau percaya sektor berkaitan teknologi akan menjadi tumpuan pelabur dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya lagi, perkembangan positif pasaran saham juga, hasil reformasi ekonomi serta inisiatif kerajaan untuk meraih peluang dalam bidang baharu termasuk teknologi dan tenaga boleh ubah.

Setakat 4 Jun 2024, FBM KLCI telah meningkat 11% berbanding purata serantau 1%. Prestasi Bursa Malaysia juga mengatasi Bursa Hong Kong 8.19%, Shanghai 3.91% dan Singapura 3.05%.

Dalam tempoh sama, tiga negara ASEAN lagi mengalami penyusutan dalam bursa saham mereka, Thailand -5.55%, Indonesia -2.39 dan Filipina -0.99%.

Konflik perdagangan China-Amerika Syarikat (AS) turut memberi kelebihan kepada Malaysia dalam bentuk pelaburan dan perdagangan.

“Malaysia sebenarnya penerima manfaat utama daripada perang perdagangan dan teknologi AS dan China. Saya fikir syarikat sedang membina hab di Malaysia untuk manfaat perdagangan mereka,” jelas beliau.

Selain itu, jangkaan AS menurunkan kadar faedahnya menyebabkan pelabur megalihkan dana ke negara lain termasuk Malaysia.

Menurut penganalisis, saham tempatan mampu meningkat lebih tinggi lagi selepas ini. Ini dapat dilihat daripada nisbah harga kepada pendapatan yang masih rendah berbanding purata 5 tahun.

Dengan pelbagai tarikan dan perkembangan positif untuk Malaysia, tidak mustahil indeks FBM KLCI mampu kembali ke paras tertingginya sekitar 1,800 mata satu hari nanti.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini