comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Salah lapor nilai ringgit, Google Malaysia mohon maaf

KUALA LUMPUR: Google Malaysia memohon maaf atas salah lapor nilai tukaran wang asing membabitkan Dolar Amerika dan Ringgit (USD-MYR) pada lamannya tiga hari lalu.

Dalam hantaran X, Google juga menjelaskan ia telah segera menghubungi penyedia perkhidmatan pihak ketiga yang menyediakan maklumat tukaran wang asing termasuk membabitkan ringgit untuk memperbetulkan kesilapan. Isu terbabit juga telahpun diselesaikan dan Google memohon maaf jika terdapat sebarang kekeliruan mengenai perkara terbabit.

Google juga menjelaskan ia menyediakan maklumat tukaran wang asing untuk tujuan memberi maklumat sahaja dan meminta orang ramai untuk mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa seperti menerusi laman web Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan atau kewangan.

Sebelum ini dalam satu kenyataan BNM menegaskan, data kadar pertukaran ringgit yang tersebar menerusi media sosial berdasarkan kadar pertukaran USD/MYR diterbitkan Google pada 15 Mac 2024 sebagai tidak tepat dan tidak mencerminkan nilai dagangan sebenar.

Kadar pertukaran USD/MYR berada pada 4.7015 pada jam 9 pagi dan 4.7045 pada jam 5 petang pada hari itu sebagaimana diterbitkan dalam laman sesawang BNM.

Sepanjang dua minggu yang lalu (1 – 15 Mac 2024), nilai ringgit juga telah mengukuh sebanyak 0.76 peratus berbanding dengan dolar AS.

Loading...
Terkini