comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sarawak bakal beralih jadi negeri ekonomi besar

KUALA LUMPUR: Peningkatan prasarana yang besar-besaran bakal dijalankan di Sarawak dengan perbelanjaan pembangunan lebih tinggi yang diperuntukkan kepada negeri itu, bukan saja pada peringkat persekutuan tetapi juga pada peringkat negeri.

RHB Research dalam satu nota penyelidikan berkata, peningkatan ini disokong lagi oleh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bermatlamat untuk mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM282 bilion sebelum 2030 berbanding RM146 bilion yang dianggarkan bagi 2023 berdasarkan unjuran yang dibuat oleh Unit Perancangan Ekonomi Sarawak.

“Kami mengenal pasti beberapa sektor seperti air (kerja-kerja paip, projek tebatan banjir dan loji rawatan air), pengangkutan (Transit Aliran Autonomi (ART) Kuching dan beberapa projek lebuh raya), tenaga boleh baharu (dalam bentuk kuasa hidro) melalui empangan melata dan pengeluaran gas perindustrian (hidrogen).

“Sektor-sektor ini, di samping pusat-pusat data yang mungkin akan ditubuhkan, membuka ruang untuk mengembangkan prasarana di negeri ini.

“Penemuan telaga minyak baharu di luas pesisir Sarawak, dengan lokasinya yang strategik untuk tujuan pengumpulan dan penyimpanan karbon (CCS) juga mungkin mendorong permintaan untuk pembinaan prasarana yang berkaitan,” katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Adam Mohamed Rahim dan Ng Wai Yan.

RHB Research berkata, faktor seperti tawaran tarif elektrik tanpa subsidi yang paling murah di rantau ASEAN, dasar yang memudahkan perniagaan dan sumber tenaga boleh baharu yang banyak (iaitu kuasa hidro), memberi keupayaan kepada Sarawak untuk menarik pelabur asing.

“Jika diimbas kembali, negeri ini menerima pelaburan asing sebanyak RM12.4 bilion pada 2022 berbanding RM9.4 bilion pada 2021, sekali gus menjadikannya negeri yang menerima pelaburan asing yang diluluskan ketiga tertinggi, selepas Johor (RM58.8 bilion) dan Selangor (RM33 bilion).

“Kemasukan pelaburan asing mungkin diterjemahkan kepada keperluan untuk menubuhkan prasarana di kawasan perindustrian seperti Taman Perindustrian Samalaju dan Taman Perindustrian Sarawak Petchem di Bintulu,” katanya.

Ia menambah, Sarawak berjaya mencatat nilai projek pembinaan kelima terbesar pada 2022 dalam kalangan negeri di Malaysia, dengan nilai mencecah RM9.9 bilion di mana melihat dari segi nilai kerja pembinaan yang sudah dijalankan, Sarawak menyaksikan kenaikan berterusan sejak 2017 kecuali pada tahun 2020 ketika sektor ini terjejas teruk oleh wabak COVID-19.

Ia berkata, pada 2023, negeri ini merekodkan nilai kerja pembinaan yang dijalankan sebanyak RM14.6 bilion (keempat terbesar selepas Selangor, Wilayah Persekutuan dan Johor yang mewakili purata kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) lima tahun sebanyak 4.5 peratus dan merupakan pencapaian yang hebat jika dibandingkan dengan kebanyakan negeri lain yang mengalami penurunan.

“KKB Engineering Bhd menjadi syarikat terbaik untuk pelaburan saham di Sarawak di bawah liputan kami kerana pendedahan prasarananya yang pelbagai, diikuti oleh IJM Corp Bhd (IJM) yang semakin meluaskan capaian operasinya di negeri berkenaan.

“Kami juga ambil maklum akan rekod prestasi Gamuda Bhd di Sarawak menerusi pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo (PBH) dan projek Jalan Utama Kedua (STR), selain turut menekankan Ibraco Bhd sebagai idea pelaburan tanpa saranan untuk Sarawak,” katanya.

Loading...
Terkini