Oleh: Amanda Lopez
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini muncul sebagai pemegang terbesar Affin Bank menerusi peningkatan pegangan ekuiti 31.25% dalam bank itu.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, matlamat utama negeri Bumi Kenyalang adalah untuk kembali memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negeri itu.
Sarawak yang pernah memiliki lima bank pada tahun 90-an, mahu kembali dominan dalam perbankan perdagangan negara.
Dengan jangkaan ekonomi Sarawak akan terus berkembang, penting bagi kerajaan negeri membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menceburi bidang baharu.
Pengambilalihan Affin Bank akan membolehkan usahawan PKS mendapat pembiayaan kewangan sekali gus merancakkan ekonomi Sarawak.
“PKS memerlukan rakan kongsi kewangan yang boleh dipercayai untuk berkembang maju. AFFIN, bersama dengan kepakarannya dalam pembiayaan perdagangan dan pinjaman komersial, menjadikannya rakan kongsi yang ideal untuk perusahaan ini.
“Dengan sokongan AFFIN, PKS boleh mengembangkan operasi, berinovasi dan mencipta peluang pekerjaan untuk kakitangan kita,” kata beliau dalam ucapan pada majlis pemeteraian jual beli saham oleh kerajaan Sarawak dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Dengan ini, kerajaan Sarawak muncul pemegang saham majoriti Affin Bank.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pakatan strategik ini menggabungkan kekuatan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan kerajaan Sarawak untuk membentuk kuasa yang tiada tandingan dan bersedia untuk mentakrifkan semula landskap perbankan.
“Affin Bank akan menyokong sektor runcit, korporat dan PKS termasuk PKS di Sarawak,” katanya dalam ucapan pembukaan.
Affin akan mengembangkan rangkaian cawangan bank daripada enam ke 14 cawangan baharu di Sarawak menjelang suku pertama tahun 2025.
Pulau Pinang, Johor and Selangor juga akan menyaksikan 10 lagi cawangan baharu menjadikan jumlah cawangan bank Affin 146 menjelang Jun 2025.
Pengambilalihan Affin Bank adalah sebahagian langkah strategik kerajaan Sarawak bagi tahun ini.
Ia juga dijangka memuktamadkan pengambilalihan Pelabuhan Bintulu dan MASWings Sdn Bhd menjelang akhir tahun ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.