comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sasaran perolehan DAKOM 2030 dicapai dua tahun lebih awal

Datuk Ewon Benedick di sidang media Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024

Oleh: Nurin Farhana Rishdy 

KUALA LUMPUR: Dasar Koperasi Malaysia DAKOM 2030 berjaya melepasi sasaran perolehan mencecah RM64 bilion pada tahun lepas, melebihi sasaran awal sebanyak RM60 bilion yang ditetapkan untuk tahun 2025.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pencapaian ini menandakan pertumbuhan yang lebih stabil dalam sektor koperasi.

“Saya ucap tahniah pada agensi-agensi yang terlibat khususnya gerakan koperasi di Malaysia kerana berjaya mencapai sasaran ini,” katanya dalam sidang media Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024 di sini hari ini.

Ewon menekankan pentingnya kerjasama antara kerajaan negeri untuk membantu pembangunan gerakan koperasi di setiap negeri untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri dalam pemberian insentif kepada gerakan koperasi di negeri seperti Johor yang memperuntukkan insentif RM300,000, Perak sebanyak RM620,000 dan Melaka sebanyak RM100,000.

“Saya berharap penglibatan yang berterusan dari masyarakat dalam gerakan koperasi akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih kukuh dalam perolehan koperasi pada masa akan datang.”katanya.

Mesyuarat yang dipengerusikan Ewon hari ini memberi tumpuan dalam menentukan hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara serta mempertingkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri dalam sektor itu.

Mesyuarat berkenaan juga membincangkan perkara-perkara yang boleh menyumbang kepada pembangunan gerakan koperasi agar terus relevan sebagai penyumbang pembangunan sosioekonomi negara.

Mesyuarat itu turut disertai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan, Exco kerajaan negeri, wakil gerakan koperasi, wakil industri dan ahli akademik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini