comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC bakal perkenal saringan Syariah SRI syarikat senaraian awam

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bakal memperkenalkan saringan Syariah Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) untuk syarikat senaraian awam tahun ini.

Pengerusi SC, Datuk Seri Awang Adek Hussin, berkata usaha itu diharapkan akan menyegarkan ekosistem kawal selia untuk kemampanan, memudahkan peralihan yang adil, dan meningkatkan lagi penjajaran antara Syariah dan kemampanan.

“SC sedang menyediakan langkah konkrit untuk menyokong agenda kemampanan negara dan mengukuhkan Malaysia sebagai hab SRI serantau.

“(Sehubungan itu) saringan Syariah SRI untuk syarikat senaraian awam akan diperkenalkan pada tahun ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada hari kedua Forum Global Mengenai Ekonomi dan Kewangan Islam 2024 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Abdul Ghaffour.

Sementara itu, Awang Adek berkata, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, SC sedang dalam proses mewujudkan Bursa Sosialuntuk menangani keperluan masyarakat dan menggalakkan pembangunan ekonomi yang inklusif.

“Inisiatif ini menyediakan platform untuk perusahaan sosial dan organisasi bukan berasaskan keuntungan untuk mengumpul dana pada kadar kupon sifar dan pembayaran balik modal sifar untuk projek memanfaatkan segmen masyarakat yang kurang bernasib baik, dalam prosesnya akan memupuk ekosistem kewangan lebih inklusif dan saksama.

“Bagi tujuan ini, SC akan menubuhkan Jawatankuasa Penasihat untuk mempercepatkan pelaksanaannya menjelang akhir tahun ini, dengan rangka kerja tadbir urus dan jaminan yang tepat, untuk menggalakkan pengumpulan dana, dan lebih penting lagi, memastikan dana yang diperoleh dalam bursa itu, akan digunakan dengan betul untuk tujuan yang dimaksudkan.

“Dalam kewangan Islam, tumpuan kepada alat kewangan sosial juga akan membuka ruang kepada pemboleh untuk memanfaatkan wakaf dan menggalakkan pembangunan lebih banyak instrumen kewangan berasaskan wakaf, melalui struktur seperti Musyarakah atau perkongsian ekuiti, selaras dengan Maqasid al-Shariah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini