comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC, Bursa Malaysia pantau kejatuhan harga saham tertentu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Bursa Malaysia Bhd (Bursa Malaysia) memantau dengan teliti keadaan pasaran baru-baru ini berikutan situasi turun naik yang meningkat dalam saham tertentu.

SC dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama hari ini berkata, mereka memberi jaminan kepada pelabur bahawa asas pasaran saham Malaysia kekal kukuh dan tidak perlu ada sebarang kebimbangan.

“Penurunan ketara dalam harga saham baru-baru ini terhad kepada beberapa saham bermodal kecil dan tidak meluas.

“Saham yang terjejas merangkumi sekitar 0.17 peratus daripada jumlah permodalan pasaran dan 8.3 peratus daripada jumlah nilai dagangan bagi tahun berkenaan.

“Pelabur dinasihatkan untuk membuat keputusan pelaburan termaklum berdasarkan asas dan terus merujuk kepada pendedahan dan pengumuman yang dibuat oleh syarikat tersenarai di www.bursamalaysia.com,” katanya.

Kenyataan itu menambah, pelabur juga perlu mengambil perhatian terhadap jawapan syarikat kepada pertanyaan Aktiviti Pasaran Luar Biasa (UMA) yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia.

“SC dan Bursa Malaysia menjalankan pengawasan proaktif terhadap urus niaga dan pendedahan korporat, serta pemantauan masa nyata bagi semua aktiviti dagangan untuk memastikan pasaran yang cekap, adil dan teratur.

“Apabila penyelewengan dikesan, SC dan Bursa Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kawal selia yang diperlukan untuk memelihara integriti pasaran,” katanya.

Baru-baru ini, berlaku penjualan berterusan dalam kalangan saham bermodal kecil di Bursa Malaysia yang mengakibatkan RM7.1 bilion permodalan pasaran lenyap dalam kalangan 13 syarikat yang paling teruk terjejas sejak awal tahun ini.

Kerugian itu berlaku selepas rali pendek dan agresif dalam beberapa syarikat pada minggu pertama 2024, dengan penurunan harga saham berlanjutan sehingga awal minggu ini.

Loading...
Terkini