comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC gesa pemegang amanah bon, sukuk  manfaatkan transformasi digital

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Pemegang amanah bon dan sukuk perlu menekankan usaha untuk meningkatkan standard profesional mereka di samping mencipta tawaran perkhidmatan yang lebih baik agar sejajar dengan pertumbuhan pasaran bon dan sukuk.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata ini termasuk memanfaatkan teknologi untuk melaksanakan peranan mereka dengan lebih baik bagi melindungi kepentingan pelabur serta bertindak sebagai perantara di antara penerbit dan pelabur secara lebih berkesan.

Beliau berkata perubahan ketara cara perkhidmatan disediakan dengan transformasi teknologi masa kini adalah dijangkakan, dengan matlamat asas untuk meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam penyediaan perkhidmatan yang menguntungkan dari segi kos untuk penerbit dan pelabur, menjimatkan masa mereka dan mengurangkan risiko kesilapan.

“Teknologi kawal selia menjadi semakin penting dalam industri kewangan, terutama dalam kalangan pemegang amanah, memandangkan mereka menghadapi pertambahan bilangan keperluan kawal selia dan peningkatan penelitian pelabur.

“Menerusi langkah memanfaatkan penyelesaian teknologi kawal selia, pemegang amanah bon boleh memperkemaskan proses pematuhan dan memperkukuh keupayaan pengurusan risiko masing-masing,” katanya ketika berucap pada Forum Pemegang Amanah Bon dan Sukuk 2023 di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata pasaran bon dan sukuk Malaysia adalah antara yang paling maju dan terbesar di rantau ini, dengan jumlah nilai terkumpul kira-kira RM1.9 trilion, mewakili lebih 50 peratus daripada saiz pasaran modal Malaysia dengan bon dan sukuk korporat membentuk 42 peratus daripada jumlah berbaki.

“Walaupun pelbagai cabaran pandemik dan pascapandemik yang merangkumi pengetatan dasar monetari global, kebimbangan mengenai kemelesetan serta ketegangan geopolitik, pasaran bon dan sukuk korporat Malaysia terus berkembang, dengan jumlah nilai berbaki meningkat kepada RM811 bilion setakat April 2023 berbanding paras sebelum pandemik iaitu RM717 bilion pada 2019,” katanya.

Loading...
Terkini