comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC pelawa maklum balas draf kod tadbir urus untuk PMKS

KUALA LUMPUR: Kumpulan Kerja Tadbir Urus PKS1, yang dipengerusikan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), hari ini mengeluarkan draf Kod Tadbir Urus untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Malaysia bagi rundingan awam.

SC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pembangunan kod itu adalah sejajar dengan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) dan Dasar Keusahawanan Negara 2030, yang bertujuan untuk meningkatkan ketelusan dan integriti serta memastikan persekitaran perniagaan yang kompetitif.

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin menekankan kepentingan menggalakkan amalan tadbir urus yang baik dalam kalangan PMKS, yang merupakan sebahagian penting daripada ekonomi Malaysia kerana ia menyumbang 97.4 peratus kepada pertubuhan perniagaan negara.

“Mengukuhkan daya tahan PMKS melalui asas tadbir urus yang lebih kukuh adalah penting untuk berkembang maju dalam pasaran dinamik hari ini,” katanya.

Penggunaan kod oleh PMKS adalah secara sukarela, dengan kod tersebut melengkapkan panduan sedia ada lain untuk PMKS termasuk Panduan Penzahiran Ringkas ESG dan Panduan Ringkas ESG untuk PMKS.

Kod itu memberi tumpuan khusus kepada amalan tadbir urus, termasuk untuk memastikan akauntabiliti yang jelas dalam membuat keputusan berhubung dengan pengurusan risiko dan peluang kemampanan sesebuah syarikat.

Amalan tadbir urus dalam kod disyorkan berdasarkan saiz dan spektrum kematangan perniagaan PMKS.

Kod itu juga selaras dengan prinsip Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), yang disasarkan kepada syarikat tersenarai dan pelaksanaannya akan diterajui oleh Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG) bersama-sama dengan SME Corp Malaysia dan agensi lain yang berkaitan, katanya.

Pihak yang berminat dan orang ramai dijemput untuk mengemukakan ulasan mereka mengenai draf kod di www.micg.org.my/msmecode sebelum 30 April 2024.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini