comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SC rancang perkenal bursa sosial akhir tahun ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bercadang untuk memperkenalkan bursa sosial menjelang hujung tahun ini bagi memastikan impak dana daripada projek sosial yang lebih berkesan dan ketara.

Bursa sosial adalah satu segmen dalam bursa saham yang menjadi platform inovatif untuk merapatkan jurang pembiayaan bagi enterpris sosial termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin, pengawal selia pasaran modal itu menjalankan kajian kebolehlaksanaan dan penilaian ekosistem untuk penubuhan bursa sosial.

Beliau berkata, dengan adanya bursa sosial itu bagi memastikan kredibiliti dan integriti organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam kutipan dana bagi projek sosial lebih terjamin dan tulen.

Malah, katanya, dengan adanya bursa sosial itu akan membolehkan NGO yang layak mempunyai pendaftaran rasmi dan memastikan ketulenan mereka terjamin.

“Jika mereka ingin membuat beberapa projek, mereka boleh menyenaraikan projek di bursa sosial. Ia baik dan dilaksanakan dengan jayanya di India.

“Kami telah menghantar pasukan ke India untuk mengkaji model India dan mereka telah kembali dan sangat teruja bahawa ia boleh dilakukan di Malaysia,” katanya pada sidang media sempena penerbitan Laporan Tahunan SC 2023 di sini, hari ini.

Mengenai tinjauan prestasi pasaran modal bagi 2023, Awang Adek berkata, sentimen pasaran bagi tahun ini dijangka lebih baik.Beliau berkata, dalam tiga bulan pertama tahun ini ini dilihat lebih baik.

Katanya, pihaknya menjangkakan tawaran awam permulaan (IPO) bagi tahun ini juga lebih baik dengan jangkaan antara 40 hingga 42 IPO tahun ini.

Pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan pada 2023, dengan saiz pasaran berkembang sebanyak 5.6 peratus kepada RM3.8 trilion berbanding RM3.6 trilion pada 2022, didorong oleh pertumbuhan dalam permodalan pasaran ekuiti serta jumlah bon dan sukuk belum tebus.

IPO meningkat kepada RM3.6 bilion berbanding RM3.5 bilion pada 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini