comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Scientex bina rumah mampu milik di Indonesia

 

Peng Jin (dua dari kiri) memeterai perjanjian wakil daripada Mustika Land Indonesia dan Japan Creed Group. – FOTO: ihsan Scientex

SHAH ALAM: Scientex Bhd (Scientex), pengeluar pembungkusan global dan pemaju hartanah menjalin kerjasama strategik dengan Mustika Land Indonesia dan Japan Creed Group bagi membina rumah mampu milik di Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutif Scientex, Lim Peng Jin, berkata melalui kerjasama itu, anak syarikat milik penuhnya, Scientex Quatari Sdn Bhd (STX) bersama dengan PT Graha Mustika Tamansari (PT GMT) dan Creed Property PH-1 Pte Ltd (CRD) akan membentuk syarikat usaha sama (JV), dengan PT GMT memegang 60 peratus kepentingan manakala STX dan CRD masing-masing memegang 20 peratus.

Beliau berkata, syarikat JV itu seterusnya akan memperoleh tanah daripada PT GMT untuk pembangunan Fasa 1 Graha Mustika Tamansari di Bekasi, Jabodetabek, membabitkan pembangunan 400 buah rumah mampu milik dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM85.5 juta (AS$19 juta).

Katanya, setelah melaksanakan pembangunan hampir 28,000 rumah mampu milik dengan GDV sebanyak RM8 bilion di Malaysia, Scientex kini bersedia untuk memulakan strategi rentas sempadan untuk menembusi pasaran baharu di Asia Tenggara dan memenuhi permintaan serantau.

“JV dengan pemaju hartanah terkemuka ini dapat memanfaatkan pengetahuan mendalam mereka tentang persekitaran tempatan di Indonesia.

“Manakala, Scientex pula akan membawa kepakaran yang terbukti dalam membangunkan perbandaran berskala besar dengan kualiti dan kecekapan berdasarkan teknologi bangunan tempatan, yang menjadi ciri khas kami selama 28 tahun yang lalu.

“Visi jangka masa panjang kumpulan adalah untuk mengembangkan jenama Scientex dalam sektor pembangunan hartanah Indonesia, selain berkongsi pengetahuan, kepakaran dan pengalaman perumahan mampu milik di peringkat serantau,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini