comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sedan baharu Perodua, Proton X90 tarikan utama 2023

Proton X90 adalah SUV segmen D berasaskan model Geely Haoyue

KUALA LUMPUR: Model kereta baharu yang bakal dilancarkan tahun ini seperti sedan Perodua dan Proton X90 mampu mengukuhkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tempatan yang diunjurkan lebih rendah berbanding prestasi pada 2022.

Difahamkan, sedan baharu PERODUA adalah model Perodua Bezza generasi baharu bagi menggantikan model terdahulu yang dilancarkan pada 2016.

Sementara itu, X90 adalah model seterusnya yang bakal dilancarkan PROTON, iaitu kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk segmen D berasaskan model Geely Haoyue.

Penganalisis RHB Investment Bank, Jim Lim Khai Xhiang, berkata TIV diramalkan lebih rendah dan berdasarkan permintaan lebih lemah pada 2023 akibat ketiadaan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta harga kereta lebih tinggi.

“Sungguhpun begitu, kami ambil maklum bahawa sekiranya kereta-kereta yang baru dilancarkan seperti Toyota Vios dan Innova, model sedan Perodua, dan Proton X90 mendapat sambutan yang lebih hangat daripada yang dijangkakan, ramalan TIV sebanyak 600,000 unit kami mungkin akan dinaikkan.

“Sebelum ini, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan TIV 2023 sebanyak 636,000 unit yang kemudiannya disemak naik kepada 650,000 unit,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Dengan paras TIV tertinggi sebanyak 77,000 unit pada Disember 2022, TIV 2022 secara keseluruhan mencatatkan 720,658 unit, lantas memecah rekod tertinggi sebelum ini pada 2015 yang berjumlah 666,598 unit.

Catatan 721,000 unit untuk TIV 2022 juga lebih tinggi daripada kedua-dua ramalan 700,000 yang dibuat oleh RHB Investment Bank dan anggaran 630,000 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Khai Xhiang berkata, sebahagian besar jualan mantap ini disebabkan oleh tamatnya tempoh pengecualian SST yang menyebabkan pelanggan berpusu-pusu untuk membuat pesanan, danpengeluaran yang bertambah baik.

“Hal ini jelas apabila TIV separuh kedua 2022 adalah 17 peratus lebih tinggi daripada TIV separuh pertama 2022 kerana syarikat-syarikat pengeluar kereta berhempas-pulas untuk menghantar pesanan terbabit yang dibantu oleh pemulihan rantai bekalan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sama seperti TIV kukuh bagi suku keempat 2022, kami ramalkan suku pertama 2023 akan mencatat prestasi teguh kerana ia suku terakhir untuk syarikat-syarikat menghantar pesanan yang dikecualikan SST. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini