comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sektor automotif dijangka cipta rekod jualan lagi tahun ini

Foto hiasan 

KUALA LUMPUR: RHB Research menjangkakan sektor automotif Malaysia mencipta rekod lagi tahun ini jika jualan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) mengukuh dalam tempoh empat bulan akan datang.

Dalam satu nota penyelidikan, ia berkata penyerahan yang kukuh pada separuh kedua 2023 akan disokong terutamanya oleh jenama yang memiliki pesanan tertunggak yang besar seperti Perodua dan Toyota, yang sebahagian besarnya dipacu oleh pelancaran Perodua Axia dan Toyota Vios.

“TIV Ogos berjumlah sebanyak 72,000 unit menjadikan TIV tahun sehingga kini kepada 502,000 unit. Ogos menyaksikan peningkatan kukuh bulan ke bulan, terutamanya daripada pengeluar kereta Jepun seperti Honda dan Toyota, yang meningkat sebanyak 30 dan 23 peratus, didorong oleh pesanan tertunggak,” katanya.

Firma penyelidikan itu berkata anggaran TIV 2023 sebanyak 725,000 unit selari dengan jangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) 2023.

Sementara itu, memandangkan 2023 dijangka tahun pecah rekod kedua berturut-turut dan berdasarkan kekurangan pemangkin untuk menyokong pesanan serta penyerahan yang tinggi, RHB Research berkata TIV 2024 berkemungkinan berkurangan tahun ke tahun, terutama jika TIV 2023 mencapai kemuncaknya.

Dalam nota berasingan, MIDF Research berkata TIV 2023 mampu melepasi unjuran itu, dan kejelasan hasil jangka pendek kukuh dengan mengambil kira pesanan tertunggak sedia ada.

“Bagaimanapun, taklimat penganalisis baru-baru ini menyatakan bahawa pertumbuhan pesanan tertunggak mula mendatar berbanding tahap Mac-Jun berikutan peningkatan dalam pengeluaran untuk mengurangkan jumlah senarai menunggu yang panjang sebelum ini,” katanya.

Permintaan katanya boleh disokong oleh peningkatan dalam pasaran buruh, keadaan pendapatan dan pengurangan inflasi.Walaupun dolar AS yang kukuh merupakan risiko margin kepada sektor automotif, ia menyatakan bahawa pengeluar kereta bukan nasional telah menaikkan harga sejak awal tahun ini.

Ia mengekalkan saranan neutral pada sektor automotif, menurut nota berkenaan. – BERNAMA

Loading...
Terkini