comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sektor pembinaan berkembang 14.2 peratus kepada RM36.8 bilion pada suku pertama 2024

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Nilai kerja dalam sektor pembinaan melonjak sebanyak 14.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y), berjumlah RM36.8 bilion pada suku pertama 2024 (S1 2024), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata nilai kerja yang dilakukan dalam sektor pembinaan meneruskan trajektori menaik berbanding 6.8 peratus pada S4 2023.

“Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh pengembangan lebih kukuh dalam subsektor kejuruteraan awam, iaitu pada 24.7 peratus berikutan peningkatan 18.0 peratus pada suku sebelumnya.

“Selain itu, subsektor aktiviti pertukangan khas dan bangunan kediaman masing-masing mengalami peningkatan dua angka sebanyak 11.8 peratus dan 11.5 peratus.

“Pada masa yang sama, subsektor bangunan bukan kediaman juga berkembang pada kadar yang lebih pantas sebanyak 3.8 peratus (S4 2023: -1.9 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata daripada RM36.8 bilion, kejuruteraan awam berjumlah RM15.1 bilion atau 41.1 peratus, didorong terutamanya oleh aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api yang menyumbang RM7.6 bilion.

“Nilai kerja yang dilakukan untuk bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing ialah pada RM10.2 bilion (27.7 peratus) dan RM7.8 bilion (21.1 peratus).

DOSM menambah hampir 58.4 peratus daripada nilai kerja sektor pembinaan pada S1 2024 tertumpu di Selangor, Johor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan) dan Sarawak.– BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini