comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sektor Perkhidmatan Naik 32.3% Kepada RM517.4 Bilion Pada Suku Ketiga 2022 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sektor perkhidmatan Malaysia berkembang 32.3 peratus tahun ke tahun kepada RM517.4 bilion pada suku ketiga 2022 dan 2.2 peratus suku ke suku kepada RM10.9 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia berkata jumlah hasil bagi segmen perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman (F&B) dan penginapan meningkat 33.4 peratus kepada RM417.8 bilion berbanding setahun lalu, disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit yang meningkat 32.3 peratus kepada RM97.2 bilion; F&B (RM5.0 bilion; 42 peratus) dan penginapan (RM2.4 bilion; 346.3 peratus).

Kadar penghunian purata (AOR) untuk penginapan melonjak kepada 56.2 peratus berbanding 20.7 peratus pada suku yang sama tahun sebelumnya kerana permintaan yang lebih tinggi untuk penginapan di kawasan bukit (AOR: 91.4 peratus), pantai (AOR: 53.9 peratus) dan bandar (AOR: 48 peratus).

Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 23.9 peratus kepada RM73.4 bilion tahun ke tahun dipacu oleh pengangkutan dan penyimpanan (RM11.8 bilion) yang meningkat 55.3 peratus.

Pertumbuhan hasil gabungan daripada segmen kesihatan, pendidikan, seni, hiburan dan rekreasi berjumlah RM15.9 bilion, naik 45.5 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan peningkatan 515.5 peratus dalam sektor seni, hiburan dan rekreasi berjumlah RM3.7 bilion manakala subsektor kesihatan swasta bertambah 12.2 peratus kepada RM0.7 bilion.

Segmen ejen profesional dan hartanah merekodkan RM10.3 bilion, pertumbuhan 37.3 peratus berbanding suku ketiga 2021 didorong oleh subsektor profesional (RM2.7 bilion; 37.9 peratus) dan ejen hartanah (RM131.2 juta; 27.9 peratus).

Sektor perkhidmatan menyediakan peluang pekerjaan untuk 3.8 juta orang dalam tempoh itu, 4.4 peratus tahun ke tahun manakala gaji dan upah melonjak 8.7 peratus peningkatan atau RM2.1 bilion tahun ke tahun.

Bagi suku tahunan, gaji dan upah meningkat 1.2 peratus kepada RM26.2 bilion pada suku ketiga 2022.

Pendapatan e-dagang mencatatkan pertumbuhan 3.7 peratus kepada RM289.2 bilion tahun ke tahun bagaimanapun menyaksikan peningkatan kecil 0.3 peratus suku ke suku.

DoSM berkata Indeks Volum Perkhidmatan meningkat sebanyak 23.1 peratus kepada 140.4 mata berbanding 114.1 mata pada suku ketiga 2021 dengan sumbangan daripada perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan menyaksikan pertumbuhan gabungan 30 peratus, segmen perkhidmatan perniagaan dan kewangan (15.7 peratus), maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan (17.1 peratus) serta segmen perkhidmatan lain (35.9 peratus).

Bagi suku tahun, Indeks Volume Perkhidmatan berkembang 3.0 peratus kepada 140.4 mata berbanding 136.3 mata pada suku kedua tahun 2022 berikutan pertumbuhan perdagangan borong dan runcit, F&B dan penginapan (1.9 peratus), perkhidmatan perniagaan dan kewangan (6.4 peratus), maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan segmen penyimpanan (1.5 peratus) dan perkhidmatan lain (3.4 peratus).

Indeks volum pelarasan musim sektor tersebut naik 0.6 peratus kepada 142.0 mata pada suku ketiga. – BERNAMA

Loading...
Terkini