comscore
Tumpuan :
Artikel

Sektor Sawit Kurang Pekerja Ketika Musim Pengeluaran

Industri sawit menerima cabaran menjelang musim kemuncak pengeluaran buah yang semakin hampir berikutan kekurangan buruh yang berterusan. FOTO: NST

KUALA LUMPUR: Kekurangan buruh yang berterusan memberikan cabaran kepada industri sawit menjelang musim kemuncak pengeluaran buah yang semakin hampir.

Kenanga Research berkata, pengeluaran pada bulan lalu meningkat kepada 1.574 juta tan atau dua peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya dan tiga peratus berbanding tahun lalu, sesuatu yang tidak mengejutkan.

“Kami sudah menjangkakan pengeluaran Julai lebih tinggi, namun kebimbangannya adalah sama ada ia memberi petanda cabaran pengeluaran yang dihadapi Malaysia susulan kekangan buruh yang berterusan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Meskipun pengeluaran meningkat, firma penyelidikan itu berkata, eksport pada Julai lebih kukuh daripada jangkaan iaitu 1.322 juta tan, melonjak 11 peratus berbanding Jun, perkembangan yang mengejutkan.

Ia mencerminkan permintaan sedia apabila harga mencapai tahap yang lebih menarik.

“Eksport ke India dan Turkiye meningkat berbanding bulan sebelumnya, tetapi prestasi di China kekal mengecewakan dengan negara berkenaan mengimport hanya 55,325 tan, merosot 43 peratus berbanding Jun dan susut 67 peratus berbanding tahun lalu,” katanya.

Kenanga Research berkata, walaupun inventori Julai mungkin meningkat kepada 1.773 juta tan, namun paras itu masih beradaenam peratus di bawah jangkaan firma itu iaitu 1.876 juta tan dan turut berada pada bawah purata lima tahun bagi Julai.

“Situasi ini memberi satu petunjuk bahawa penawaran mungkin semakin meningkat tetapi keseluruhan senario permintaan bekalan kekal sempit,” katanya.

Melangkah ke hadapan, firma penyelidikan itu menjelaskan, permintaan minyak sawit dijangka kekal kukuh berikutan harga minyak sawit yang kini menjadi antara yang paling berdaya saing berbanding minyak boleh dimakan lain.

“Purata harga minyak sawit mentah (MSM) pada Julai ialah RM4,063 satu tan susut 33 peratus bulan ke bulan dan jatuh 2.0 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Pengeluaran minyak sawit Julai Malaysia berada enam peratus di bawah anggaran Kenanga Reseacrh, namun eksport sembilan peratus lebih tinggi walaupun terdapat persaingan sengit dari Indonesia.

“Eksport dirangsang oleh pembetulan harga MSM dari awal Jun hingga Julai berikutan langkah jualan Indonesia yang agresif.

“Bagaimanapun, harga fizikal dan hadapan telah berada pada sekitar RM4,000 satu tan sejak kebelakangan ini. Justeru, kami mengekalkan harga sasaran purata untuk MSM tahun ini pada RM4,500 satu tan dan RM4,000 satu tan bagi 2023,” katanya. – Berita Harian

Loading...
Terkini