comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sembilan firma Malaysia disenarai ‘Best Under A Billion 2023’

Forbes Asia ‘Best Under A Billion 2023’ menampilkan 200 syarikat senaraian awam Asia Pasifik terbaik.

KUALA LUMPUR: Sembilan firma Malaysia tersenarai dalam liputan Forbes Asia untuk ‘Best Under A Billion 2023’, yang menampilkan 200 syarikat senaraian awam Asia Pasifik dengan pendapatan kurang daripada AS$1 bilion (RM4.57 bilion) dan pertumbuhan pendapatan serta keuntungan yang konsisten.

Senarai itu dipaparkan di dalam Forbes Asia edisi Ogos 2023 yang mana sembilan firma itu antaranya ialah Frontken Corp Bhd, Greatech Technology Bhd, Harbour-Link Group Bhd, Kim Loong Resources Corp Bhd, QES Group Bhd, Scicom (MSC) Bhd, Thong Guan Industries Bhd, Uchi Technologies Bhd and ViTrox Corp Bhd.

Menurut Forbes Asia, senarai tahunan ‘Best Under A Billion’ itu mengiktiraf 200 syarikat dagangan awam bersaiz kecil dan sederhana di rantau ini yang mencatat prestasi mengatasi jangkaan walaupun menghadapi tekanan global seperti inflasi dan peningkatan kos pendanaan.

Katanya, jumlah firma yang tersenarai kebanyakannya tertumpu dalam pembuatan cip dan industri berkaitan.

“Permintaan untuk semikonduktor yang terdapat dalam barangan harian seperti telefon pintar, peralatan dan kereta, melonjak dalam tempoh tiga tahun lalu dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pantas, walaupun pasaran dijangka sedikit berkurangan tahun ini berikutan kekangan bekalan semakin berkurangan.

“Firma dengan prestasi terbaik lain dalam senarai termasuk syarikat yang menyampaikan penyelesaian IT yang menyokong transformasi digital penjagaan kesihatan, logistik dan pembuatan serta industri lain.

“Sementara itu, perniagaan yang bergantung pada perbelanjaan pengguna, seperti restoran, hiburan dan sukan, terus mengalami peningkatan dalam jualan apabila sekatan COVID-19 semakin pudar,” katanya.

Loading...
Terkini