comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sentimen lemah dorong Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini

KUALA LUMPUR– Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini dengan kebanyakan indeks berada dalam zon negatif disebabkan sentimen belian yang lebih lemah.

Pelabur mengambil petunjuk daripada prestasi semalaman Wall Street yang merosot selepas Rizab Persekutuan AS (Fed) menaikkan kadar sebanyak 75 mata asas dan membayangkan kenaikan yang lebih kecil akan menyusul dalam usahanya untuk terus memerangi inflasi.

Pada 9.06 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 4.96 mata untuk mencatatkan paras 1,446.65 daripada 1,451.61 penutup Rabu.

Indeks utama itu memulakan urus niaga pagi ini pada paras 1,448.32, susut 3.29 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 209 berbalas 77, manakala 215 kaunter tidak berubah, 1,824 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 177.37 juta unit bernilai RM47.95 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Purata Perindustrian Dow Jones (DJI) kerugian 505 mata, Nasdaq merosot sebanyak 366 mata manakala hasil 10 tahun AS meningkat hampir kepada paras 4.1 peratus. .

Bagi bursa tempatan, FBM KLCI melantun melebihi paras 1,450 pada penutup semalam disokong oleh belian di kaunter perladangan dan berkaitan telekomunikasi.

Namun begitu, beliau menjangkakan sedikit halangan untuk bursa tempatan kerana pelabur akan tertumpu pada pergerakan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) lewat hari ini.

“Oleh itu, kami mengunjurkan indeks berlegar antara julat 1,440-1,460 hari ini kerana sentimen dilihat berhati-hati.

“Walaupun ramai menjangkakan BNM akan mengenakan kenaikan 25 mata asas, kami berpendapat saham teknologi akan bergerak tinggi dalam senarai jualan kerana pasaran serantau mungkin diseret ke zon negatif hari ini,” katanya kepada Bernama.

MIDF Research dalam nota penyelidikannya pula berkata selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan November 2022, Rizab Persekutuan AS mengumumkan satu lagi kenaikan besar 75 mata asas, menjadikan kadar dananya lebih tinggi kepada kepada 3.75 – 4.00 peratus.–BERNAMA

Loading...
Terkini