
KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu ketika pelabur terus berhati-hati menjelang undian mengenai had siling hutang negara maju itu lewat hari ini.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemelut berkaitan had paras hutang AS itu kekal ketara berikutan terdapat segelintir anggota Republikan Kongres itu yang tidak bersetuju dengan persetujuan berkaitannya.
Sehubungan itu, beliau berkata risiko mengenai kemungkinan penangguhan dalam mencapai keputusan terbabit sememangnya tidak boleh dinafikan.
Pada 6 petang, ringgit susut ke paras 4.6105/6155 berbanding dolar AS daripada 4.6005/6045 pada akhir urus niaga semalam.
Mohd Afzanizam berkata susulan isu itu, kalangan penggiat pasaran pertukaran asing lebih bersikap untuk bertahan atau enggan mengambil sebarang tindakan yang hanya meningkatkan lagi permintaan terhadap dolar AS.