comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sentimen positif pacu Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih tinggi, didorong oleh beberapa perkembangan positif, termasuk prestasi semalaman Wall Street.

Pada 9.07 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.93 mata kepada 1,447.70 daripada 1,439.77 pada akhir urus niaga Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka menambah 6.95 mata pada 1,446.72.

Pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mendahului rugi iaitu 231 berbanding 92 manakala 222 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,806 tidak diniagakan dan 22 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 250.38 juta unit bernilai RM83.67 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street menyaksikan ketiga-tiga indeks utamanya melonjak ketika peniaga menjangkakan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin ‘berehat’ daripada melakukan sebarang kenaikan kadar faedah bagi tahun ini.

Di peringkat tempatan, indeks penanda aras FBM KLCI ditutup lebih tinggi seiring dengan petunjuk daripada prestasi serantau yang meningkat.

Thong berkata, seperti dijangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.00 peratus yang menjadi berita baik bagi semua.

“Kami percaya beberapa berita positif ini akan menyokong bursa tempatan untuk menyaksikan kehadiran pembeli, sekali gus menjangkakan indeks penanda aras bergerak dalam julat 1,440-1,450 hari ini.

“Sekali lagi kami menasihati pelabur untuk terus kekal memegang saham perbankan dan menjangkakan sektor kewangan mencatat pertumbuhan pendapatan baik bagi tahun ini,” katanya.

Loading...
Terkini