comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sentimen pulih, Ringgit kembali mengukuh berbanding dolar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri penyusutan semalam apabila ditutup mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, dipacu oleh pemulihan sentimen selepas kebimbangan berlakunya krisis perbankan global kian reda, kata penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit mengukuh kepada 4.4850/4880 berbanding dolar AS daripada 4.5005/5055 pada akhir urus niaga semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata unit tempatan itu terus positif seiring dengan mata wang lain Asia selepas ketidaktentuan pasaran berkaitan dengan krisis perbankan global tidak lagi ketara.

Namun, pada masa ini, pasaran menunggu keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai dasar monetarinya yang dijadualkan pada minggu depan bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas.

“Walaupun kami menjangkakan Fed akan menaikkan kadar faedah, namun tidak pasti sama ada ini dalam lingkungan 25 mata asas atau 50 mata asas.

“Jika berdasarkan reaksi risiko pasaran terhadap kenaikan oleh Bank Pusat Eropah, saya tidak menganggap keadaan ini sebagai terlalu negatif bagi ringgit,” katanya kepada Bernama. — BERNAMA

Loading...
Terkini