
PUCHONG: Shell Malaysia menyasarkan perkhidmatan aplikasi mudah alih baharunya, Shell App, akan tersedia di semua 1,010 stesen minyaknya seluruh negara menjelang akhir tahun ini.
Pengurus Besar, Mobiliti, Malaysia, Seow Lee Ming, berkata ketika ini aplikasi berkenaan sudah boleh digunakan di 650 stesen minyaknya bermula hari ini.
Katanya, aplikasi baharu itu direka untuk menaik taraf pengalaman mengisi minyak di Shell dengan membolehkan pembayaran yang lebih selesa dari dalam kereta.
“Aplikasi ini dilengkapi sistem pengesahan keselamatan ‘3-D Secure’, menjadikannya aplikasi pembayaran minyak pertama dalam negara dengan perlindungan keselamatan tambahan sebagai jaminan kepada pengguna untuk pengalaman yang lebih selesa dan bebas daripada ancaman penipuan siber.
“Dalam dunia yang serba pantas hari ini, orang ramai mahukan keselesaan dan kemudahan melalui inovasi, mengikut citarasa mereka sendiri.
“Justeru itu, sebagai syarikat yang sinonim dengan sentiasa berinovasi dalam menawarkan penyelesaian mobiliti baharu, Shell App berfungsi sebagai komponen penting dalam meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan di Shell,” katanya pada majlis pelancaran Shell App di sini, hari ini.
Lee Ming berkata, Shell App bukan hanya memudahkan pelanggan mereka untuk membuat pembayaran minyak dengan lebih selamat dari dalam kereta, malahan memastikan perjalanan lebih mudah dan memberi lebih banyak ganjaran.
“Harapan kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang menyeluruh dan menjadikan segalanya lebih selesa untuk pelanggan kami.