
KUALA LUMPUR: Skim Jaminan Portfolio (PG) OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) dan anak syarikat perbankan Islamnya, OCBC Al-Amin Bank menerusi kerjasama Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd (CGC) bagi mengukuhkan pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) telah mencecah RM1 bilion.
Skim berkenaan, yang boleh didapati dalam ‘tranche’ perbankan konvensional dan Islam menyediakan kemudahan PG sehingga RM100 juta.
Tranche PG semasa membabitkan RM50 juta dalam bentuk kemudahan konvensional dan RM50 juta lagi menerusi kemudahan perbankan Islam, yang disediakan menerusi OCBC Al-Amin.
Malah, buat pertama kali, tranche akan disediakan kepada PMKS secara digital menerusi platform digital OCBC Bank dan OCBC Al-Amin, iaitu BizFinancing dan BizFinancing-i.
Skim PG ini dijamin sebahagiannya oleh CGC, pada nilai 70 peratus daripada jumlah kemudahan, untuk tempoh sehingga lima tahun.
Jumlah pembiayaan yang disediakan kepada PMKS adalah sehingga RM600,000 tanpa memerlukan cagaran.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak, berkata dengan pencapaian luar biasa, kini memang tepat masanya seiring pemulihan PMKS daripada kesan pandemik.
“Tranche PG ini membabitkan kemudahan konvensional RM50 juta dan kemudahan Islam RM50 juta yang sudah pasti membawa manfaat kepada pelanggan PMKS OCBC Bank dan OCBC Al-Amin,” katanya dalam satu kenyataan.
OCBC Bank, pada mulanya menerusi OCBC Al-Amin, menjadi penggerak utama inisiatif untuk menyediakan pembiayaan tidak bercagar sempena dengan pelancaran OCBC Al-Amin Business Cash-i (BC-i) pada 2014 dan telah menyediakan khidmat jaminan borong PKS pertama di negara ini.
Ia sebagai tindak balas kepada hasil kajian amat membimbangkan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada waktu itu yang mendapati 55 peratus daripada responden PMKS berkata ketiadaan harta untuk dicagarkan menjadi halangan paling besar kepada usaha mendapatkan pembiayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen, berkata OCBC Bank sentiasa berusaha untuk memberikan tahap kemudahan lebih tinggi kepada PMKS untuk memenuhi keperluan modal kerja mereka.