comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

SOP perlombongan nadir bumi bukan radioaktif dijangka kuat kuasa tahun ini

Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim. – Foto fail NSTP

Oleh: Afrina Romzi

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) bagi perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) dijangka berkuat kuasa tahun ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Industri Mineral akan diadakan pada 2 Oktober ini untuk membincangkan penggunaan SOP terbabit ke seluruh negara.

Katanya, keputusan kerajaan untuk melarang eksport nadir bumi akan membolehkan Malaysia menarik nilai lebih besar daripada rantaian bekalan.

Walaupun negara hanya mengeksport sejumlah kecil mineral itu, nilainya agak tinggi walaupun sebagai bahan mentah.

“Kebimbangan Perdana Menteri ialah kami tidak mahu mengeksport bahan mentah. Malaysia tidak sepatutnya berbuat demikian lagi. Kita telah melihat bagaimana Indonesia melakukannya dengan nikel,” katanya pada sidang media selepas Naratif Ekonomi MADANI dan Dialog Belanjawan 2024 NRECC.

Tambah beliau, larangan eksport tidak akan menjejaskan operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd kerana mereka menguruskan bijih Australia, tetapi Malaysia akan mengadaptasi kepakaran mereka untuk membangunkan nadir bumi.

“Kami mahu laksanakan (nadir bumi) secara mampan. Kita tahu nadir bumi diperlukan untuk kenderaan elektrik, turbin angin dan telefon pintar. Semua yang kita gunakan hari ini terdapat nadir bumi dan nilainya sangat ​​besar,” tambah beliau.

Loading...
Terkini