comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 1.72 juta tan

KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 1.92 peratus kepada 1.72 juta tan pada Jun 2023, berbanding 1.69 juta tan pada bulan sebelumnya.

Dalam laporan prestasi industri terkininya bagi Jun 2023, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berkata inventori minyak sawit mentah (MSM) turun 0.43 peratus kepada 917,846 tan bulan lalu daripada 921,800 tan pada Mei.

Stok minyak sawit yang diproses pula meningkat sebanyak 4.75 peratus kepada 802,721 tan daripada 766,346 tan sebelumnya.

Pengeluaran MSM menurun sebanyak 4.60 peratus kepada 1.45 juta tan pada Jun daripada 1.52 juta tan pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit turun 4.67 peratus kepada 350,516 tan daripada 367,689 tan.

MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat sebanyak 8.59 peratus, atau 92,721 tan, kepada 1.17 juta tan pada Jun daripada 1.08 juta tan sebelum ini, manakala eksport oleokimia menurun sebanyak 3.85 peratus kepada 218,297 tan.

Eksport biodiesel merosot sebanyak 4.72 peratus kepada 12,927 tan pada Jun daripada 13,568 tan pada bulan sebelumnya.

Eksport dedak isirung sawit susut 25.18 peratus kepada 133,089 tan daripada 177,877 tan sebelum ini, dan eksport minyak isirung sawit juga turun 30.90 peratus kepada 64,819 tan daripada 93,804 tan pada Mei.

Import MSM berjumlah 8,469 tan pada Jun, paras yang sama seperti pada Mei, manakala jumlah import minyak sawit melonjak sebanyak 67.15 peratus kepada 135,271 tan berbanding 80,926 tan pada bulan sebelumnya.

Loading...
Terkini