comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Stok minyak sawit Malaysia naik kepada 1.75 juta tan bulan lalu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia meningkat 0.5 peratus kepada 1.75 juta tan pada Mei 2024 daripada 1.74 juta tan pada April 2024, demikian menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

MPOB menerusi laporan prestasi industri bagi Mei 2024, berkata stok minyak sawit mentah (MSM) negara naik 1.59 peratus kepada 979,352 tan pada Mei daripada 964,049 tan metrik yang direkodkan pada April.

“Stok minyak sawit yang diproses merosot 0.85 peratus kepada 774,192 tan pada Mei daripada 780,811 tan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) menokok 13.48 peratus kepada 1.7 juta tan pada Mei daripada 1.5 juta tan metrik pada bulan sebelumnya, manakala pengeluaran isirung sawit melonjak 11.13 peratus kepada 408,318 tan daripada 367,420 tan pada April.

MPOB berkata, eksport minyak sawit meningkat 11.66 peratus kepada 1.38 juta tan pada Mei berbanding 1.23 juta tan pada April, manakala eksport biodiesel susut 40.85 peratus kepada 20,880 tan pada Mei berbanding 35,298 tan pada April.

Eksport oleokimia melonjak 9.95 peratus kepada 256,348 tan pada Mei daripada 233,153 tan sebelum ini.

“Eksport minyak isirung sawit naik 2.24 peratus kepada 87,827 tan pada bulan lalu daripada 85,901 tan pada April, manakala eksport dedak isirung sawit berkurangan 29.53 peratus kepada 147,006 tan pada Mei daripada 208,602 tan bulan sebelumnya,” katanya.

Mengenai import, MPOB berkata minyak sawit dan minyak sawit diproses kedua-duanya turun 40.28 peratus kepada 20,761 tan pada Mei daripada 34,762 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Jumlah import minyak isirung sawit meningkat 24.02 peratus kepada 15,842 tan pada Mei daripada 12,774 tan pada April. Tiada import MSM direkodkan pada bulan Mei.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini