comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Strategi ‘China Plus One’ firma teknologi dunia menguntungkan Malaysia

KUALA LUMPUR: Strategi ‘China Plus One’ yang digunakan oleh syarikat-syarikat teknologi di seluruh dunia untuk mencari alternatif kepada China dalam usaha mengurangkan risiko geopolitik telah menguntungkan Malaysia berikutan ekosistem semikonduktor negara ini yang mantap, disokong oleh infrastruktur dan kumpulan bakat yang besar.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Lee Meng Horng, berkata pembekal China yang beroperasi dengan syarikat multinasional utama Amerika Syarikat (AS) juga mula bekerjasama dengan syarikat Malaysia untuk mewujudkan kilang di negara ini bagi terus membekalkan pelanggan mereka yang berpangkalan di AS.

Beliau berkata, peralihan kerjasama dengan negara berkecuali seperti Malaysia menyaksikan sesetengah produk atau bahan mungkin dapat mengelakkan pengenaan tarif AS yang dikenakan ke atas China.

“Keadaan ini juga membuka jalan kepada syarikat yang berpangkalan di Malaysia, terutamanya dalam subsegmen peralatan ujian automatik (ATE), apabila syarikat China beralih daripada pembekal yang berpangkalan di AS,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

AS merancang untuk meningkatkan kadar tarif daripada 25 peratus kepada 50 peratus menjelang 2025 ke atas import semikonduktor dari China.

Tiga syarikat pemasangan dan ujian semikonduktor sumber luar (OSAT) iaitu Inari Amertron Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Unisem (M) Bhd mempunyai pendedahan di China menerusi kilang masing-masing di Kunshan dan Yiwu, Suzhou serta Chengdu.

Mengulas mengenai cadangan kenaikan tarif itu, Meng Horng menjelaskan, RHB Investment Bank menjangkakan kesannya adalah minimum atau langsung tiada kesan kepada syarikat Malaysia memandangkan pelanggan mereka kebanyakannya memenuhi keperluan pasaran bukan di AS, selain berlakunya pelbagai pemindahan program sejak perang dagangan bermula lima tahun lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini