comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Subsidi bersasar bahan api mampu lonjak jualan kereta elektrik

Insentif tambahan mungkin diperlukan untuk menarik lebih ramai pengguna EV di Malaysia. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan rasionalisasi bahan api, terutama diesel secara tidak langsung akan meningkatkan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dari segi permintaan dan jualan.

Penganalisis automotif, Shamsul Yunos, berkata dengan pelaksanaan subsidi bersasar, kos operasi kenderaan konvensional akan meningkat bagi kebanyakan pengguna.

Beliau berkata, keadaan itu akan menjadikan EV sebagai alternatif yang lebih menarik dari segi ekonomi dan pengguna mungkin akan mempertimbangkan peralihan kepada kenderaan sedemikian.

Katanya, EV menawarkan kos operasi lebih rendah dalam jangka masa panjang, terutamanya apabila diambil kira kos penyelenggaraan dan bahan api yang lebih murah.

“Mengikut ‘keluk penggunaan teknologi’, inovasi baharu seperti EV biasanya melalui beberapa peringkat iaitu inovasi, pengguna awal, majoriti awal, majoriti lewat dan akhirnya ketinggalan.

“Ketika ini, EV berada dalam fasa peralihan daripada pengguna awal kepada majoriti awal. Dengan langkah penyasaran subsidi, kita boleh menjangkakan peningkatan yang lebih cepat dalam peralihan ini kerana kos operasi yang lebih tinggi untuk kenderaan konvensional akan mendorong lebih ramai pengguna untuk mempertimbangkan EV sebagai alternatif yang lebih berdaya saing serta ekonomi,” katanya kepada BH.

Shamsul berkata, insentif kerajaan seperti pengecualian cukai jalan, pengecualian duti import dan rebat cukai bagi pembelian EV juga langkah rangsangan yang baik untuk menarik pembeli kenderaan berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini