comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Subsidi bersasar langkah tepat perkukuh kewangan negara

Foto hiasan / NSTP

KUALA LUMPUR: Hasrat kerajaan untuk memperkenalkan sistem subsidi bersasar pada 2024 dilihat sebagai bertepatan bagi meringankan beban fiskal yang ditanggung selain mengukuhkan kedudukan kewangan ekonomi negara, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ini berikutan Malaysia adalah antara negara tertinggi dari segi pemberian subsidi, terutama produk petroleum.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), perbelanjaan subsidi berjumlah RM55.4 bilion pada 2022, termasuk subsidi produk petroleum RM45.2 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah tersebut.

Sehubungan itu, subsidi bersasar mampu mengekang berlakunya ketirisan produk petroleum seperti aktiviti penyeludupan ke luar negara selain mengelak minyak bersubsidi digunakan oleh warga asing.

“Sistem apungan harga terkawal pernah dilaksanakan bagi produk petroleum RON95 dan diesel pada 2014 yang berjaya mengurangkan jumlah subsidi.

“Mungkin mekanisme ini boleh digunakan semula bagi memastikan bantuan kerajaan lebih bersasar dengan penjimatan subsidi berkenaan disalurkan bagi program seperti STR dan perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Pada 2014, kerajaan membelanjakan sejumlah RM39.7 bilion untuk keseluruhan subsidi dan peruntukan subsidi terus mencatat trend menurun selepas pelaksanaan sistem apungan harga terkawal yang menyaksikan jumlah subsidi pada 2015 adalah RM27.3 bilion, RM24.7 bilion (2016) dan RM22.4 bilion (2017).

Menurut LKAN, subsidi produk petroleum telah meningkat ke paras RM45.2 bilion pada 2022 berbanding RM10.0 bilion pada 2021.

Malaysia telah menetapkan sasaran kehadiran sebanyak 100,000 kenderaan elektrik (EV) di jalan raya menjelang 2030 dengan 50,000 daripadanya adalah EV komersial.

Loading...
Terkini