comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Subsidi diesel bersasar beri kesan minimum kepada pengeluar barangan pengguna – Penganalisis

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi diesel bersasar dijangka akan memberi kesan minimum dan terhad kepada syarikat pengeluar barangan pengguna, kata penganalisis.

CIMB Securities percaya kesan pelaksanaan subsidi diesel bersasar adalah minimum berdasarkan anggaran kos logistik hanya lima hingga 10 peratus daripada jumlah kos operasi syarikat pengeluar barangan pengguna.

Ia berkata, pihaknya melihat dua jenis kesan pelaksanaan subsidi diesel impak kepada syarikat pengeluar barangan pengguna iaitu peruntukan subsidi diesel yang tidak mencukupi membawa kepada kos pengangkutan yang lebih tinggi.

Kesan kedua pula jelasnya, ialah permintaan yang lebih rendah untuk produk memandangkan syarikat pengguna terpaksa menaikkan harga jualan untuk meneruskan kos logistik yang lebih tinggi yang ditanggung.

“Namun, kami percaya impak adalah minimum kerana kami menganggarkan kos logistik hanya terdiri daripada anggaran lima hingga 10 peratus daripada jumlah kos operasi syarikat pengeluar barangan pengguna.

“Selain itu, kami berpandangan bahawa kebanyakan kenderaan komersial yang digunakan untuk pengangkutan darat oleh syarikat pengguna berkemungkinan layak untuk skim Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), memastikan harga produk kekal tidak terjejas,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Bagi saham berkaitan barangan ruji pengguna, CIMB Securities berkata, permintaan untuk barangan mereka harus kekal stabil memandangkan ia adalah keperluan harian.

Ia menjangkakan kenaikan harga jualan terhad, dianggarkan kurang dua peratus untuk mengimbangi kesan penghapusan subsidi diesel ke atas bahagian rantaian bekalan mereka, yang boleh dilepaskan kepada pengguna.

“Saham pengeluar barangan pengguna bukan keperluan (Berjaya Food, Amway, Bonia, 7-Eleven dan Mynews) juga boleh menyalurkan kos logistik yang lebih tinggi kepada pengguna mereka dengan menaikkan harga.

“Walau bagaimanapun, pengguna yang terjejas (terutamanya kumpulan T20 dan warga asing) mungkin mengurangkan perbelanjaan mereka berikutan tekanan inflasi yang berpotensi membawa kepada perbelanjaan budi bicara yang lebih rendah dan menjejaskan syarikat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini