comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Subsidiari MQ Tech peroleh tanah bernilai RM19.5 juta di Melaka

KUALA LUMPUR: Subsidiari milik penuh MQ Technology Bhd (MQ Tech), Star Acres Sdn Bhd (SASB)  telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Cash Support Sdn Bhd (CSSB) untuk mengambil alih sebahagian tanah pegangan pajakan di Klebang, Melaka yang bernilai lebih kurang RM19.5 juta.

Syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata tanah seluas 2.89 hektar itu terletak kira-kira 10 kilometer di barat laut pusat bandar Melaka.

Apabila selesai, syarikat mahu melaksanakan pembangunan hartanah dua blok suite servis 27 tingkat dengan jumlah 1,000 unit dan 80 unit lot kedai.

“Nilai pembangunan kasar (GDV) serta kos pembangunan kasar (GDC) bagi cadangan pembangunan masing-masing dianggarkan sebanyak RM275 juta dan RM200 juta, dengan potensi keuntungan pembangunan kasar mampu mencecah RM75 juta,” katanya.

Pelan pembangunan termasuk permohonan tambahan yang dicadangkan itu disasarkan untuk dikemukakan kepada pihak berkuasa berkaitan selepas selesai cadangan pengambilalihan, yang dijangka siap menjelang suku ketiga 2023.

“Cadangan pembangunan dijangka bermula pada suku pertama 2025 dan akan selesai dalam tempoh tiga tahun daripada tarikh permulaan,” katanya.

Sementara itu, MQ Tech, yang pada dasarnya terlibat dalam pegangan pelaburan dan pembuatan telah mencadangkan kepelbagaian bagi menceburi perniagaan hartanah berikutan pengambilan tanah tersebut.

“Kepelbagaian yang dicadangkan membolehkan MQ Tech meneroka perniagaan hartanah, yang merupakan industri yang mempunyai permintaan yang boleh diramalkan serta prospek positif.

“Selain itu, kepelbagaian ini membolehkan MQ Tech mempunyai aliran pendapatan baharu untuk meningkatkan prestasi kewangannya selain mengurangkan pergantungan kepada perniagaan pembuatan sedia ada,” katanya lagi.

Syarikat itu juga mencadangkan penggunaan kepelbagaian dalam hasil yang akan dikumpulkan daripada skim terbitan saham sehingga 30 peratus daripada jumlah saham terbitan MQ Tech pada kira-kira RM4.37 juta. – BERNAMA

Loading...
Terkini