comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Sunway Property sasar jualan RM2.6 bilion tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sunway Property dalam landasan untuk mencatatkan satu lagi tahun pertumbuhan mantap dengan mengumumkan sasaran jualan RM2.6 bilion bagi 2024.

Sasaran diumumkan susulan prestasi positif sepanjang tahun lalu, apabila pemaju hartanah itu mencapai jualan RM2.4 bilion di seluruh operasi Malaysia dan antarabangsa, sekali gus mengatasi sasaran jualan RM2.3 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

Dalam tempoh ini, Sunway Property turut merekodkan pendapatan belum dibilkan hampir RM4.1 bilion dan berjaya menyiapkan pelancaran bernilai RM4.4 bilion.

Dengan baki simpanan tanah 2,467 ekar setakat 31 Disember 2023 yang menanggung anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM52.9 bilion, pemaju itu berada pada kedudukan yang mantap untuk meneruskan trajektori pertumbuhan dalam tahun akan datang.

Pengarah Urusan Sunway Property, Sarena Cheah, berkata: “Kami berbangga dengan pencapaian pada 2023, terutamanya apabila berjaya mengatasi sasaran jualan tahun ini. Walaupun ketidaktentuan ekonomi masih ada, kami kekal yakin dengan daya tahan pasaran hartanah, terutamanya dengan potensi pertumbuhan kukuh di Johor dengan rancangan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura.

“Tahun ini, kami juga akan memperkenalkan empat produk utama baharu merentasi semua wilayah di Malaysia.

Ditambah dengan tawaran menarik pada kempen tahunan utama ‘Signature Series’, kami yakin bahawa ini akan meletakkan kami dalam kedudukan yang baik untuk mencapai sasaran sekali lagi pada 2024.”

Loading...
Terkini