comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Syarikat automotif ‘tunggu dan lihat’ kesan kenaikan SST

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd akan mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ mengenai kesan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kepada 8.0 peratus daripada 6.0 peratus sedia ada, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Jeffri Salim Davidson.

Beliau berkata, kumpulan itu tidak menjangkakan kesan pelaksanaan SST baharu akan memberi kesan besar kepada industri kereta tetapi melihat kemungkinan harga kereta akan menjadi lebih tinggi pada masa depan sekiranya harga komponen dalam pembuatan kereta turut meningkat.

“Teorinya ialah harga kereta akan naik dua peratus. Kami mempunyai faktor lain yang terlibat…justeru sukar untuk mengatakan bahawa keuntungan adalah dua peratus. Bagaimanapun, permintaan asas untuk kereta di Malaysia masih kukuh, kita akan lihat kesannya,” katanya pada taklimat media mengenai keputusan kewangan Sime Darby bagi suku kedua berakhir 31 Disember 2023, di sini hari ini.

Semasa pembentangan Belanjawan 2024 tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar SST di Malaysia akan dinaikkan kepada 8.0 peratus daripada 6.0 peratus, ia tidak termasuk makanan dan minuman atau telekomunikasi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sime Darby, Muhammad Noor Abdul Aziz, berkata semua industri akan terjejas dengan pelaksanaan SST, bukan hanya Sime Darby.

“Kenaikan cukai jualan ini juga dikenakan kepada semua orang dan kepada semua penggiat automotif. Sehubungan itu, kami melihat ini sebagai kos menjalankan perniagaan dan ia adalah perkara baharu… begitulah cara kami melihatnya. Dari segi permintaan, ia bergantung kepada kuasa pasaran,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini