comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Syarikat Malaysia dijangka naikkan lima peratus gaji pekerja

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat di Malaysia dijangka menaikkan gaji keseluruhan sebanyak lima peratus untuk kakitangan eksekutif, profesional dan sokongan tahun ini, demikian menurut kaji selidik yang dibuat oleh firma perunding, pembrokeran dan penyelesaian terkemuka global, WTW.

Walaupun unjuran kenaikan tahun ini lebih rendah berbanding 5.6 peratus pada 2023, WTW berkata kenaikan gaji purata terus meningkat dengan stabil sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Trend yang sama diperhatikan dalam pelbagai industri di negara ini tahun ini.

“Bagaimanapun, tekanan inflasi dan kebimbangan terhadap pasaran pekerjaan yang sempit terus mempengaruhi faktor-faktor selain bajet kenaikan gaji,” katanya dalam satu kenyataan.

WTW berkata, meskipun kadar inflasi semakin perlahan daripada paras tertinggi beberapa tahun kebelakangan ini, pasaran pekerjaan di Malaysia sedang mengalami perubahan.

“Penambahan dan pengurangan secara sukarela terus meningkat untuk mencapai paras tertinggi 18.5 peratus tahun lalu berbanding 16.5 peratus pada 2022. Trend ini nampaknya akan berterusan pada tahun 2024.

Ketua Bahagian Pekerja & Ganjaran WTW bagi Asia Tenggara dan Malaysia, Tan Juan Jim berkata, majikan di negara ini akan terus berdepan cabaran bakat yang ketara termasuk usaha menarik dan mengekalkan bakat penting.

“Majikan perlu kekal fokus untuk mengimbangi keseluruhan pakej ganjaran yang mereka tawarkan, merangkumi kedua-dua aspek iaitu kewangan dan bukan kewangan untuk kekal berdaya saing dan sejajar dengan keperluan serta kehendak pekerja,” katanya.

Dalam pada itu, kaji selidik WTW mendedahkan industri seperti perbankan, insurans, teknologi, media & permainan serta perkhidmatan perkongsian & penyumberan luar mengambil lebih ramai pekerja milenium dan Gen Z pada tahun lalu.

Menurut tinjauan itu, sejak 2020, tenaga kerja Gen Z di Malaysia telah berkembang pesat dengan peningkatan 50 peratus tahun ke tahun daripada jumlah tenaga kerja.

“Menjelang 2025, WTW menjangkakan bahawa generasi milenium dan Gen Z akan membentuk lebih daripada 70 peratus tenaga kerja di negara ini,” katanya.

Juan Jim berkata, model pekerjaan tradisional semakin ketinggalan memandangkan pekerja kini mempunyai pilihan dalam ekonomi gig dan ‘passion economy’ atau ekonomi bertunjangkan kepada minat seperti industri digital.

Loading...
Terkini