comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Syarikat perladangan sawit dijangka lapor prestasi kewangan bercampur-campur bagi suku ke-2

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor perladangan selepas syarikat berkaitan dijangka melaporkan prestasi kewangan bercampur-campur bagi tempoh suku kedua tahun ini.

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata jangkaan berkenaan berdasarkan pertumbuhan pengeluaran tandan buah segar (FFB) bercampur-campur dan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah sedikit.

“Walaupun suku kedua adalah tempoh produktiviti yang lebih tinggi mengikut musim dengan pengeluaran MSM di Malaysia meningkat sebanyak 6.1 peratus suku ke suku, tiga daripada enam syarikat perladangan di bawah liputan kami mencatatkan pengeluaran BTS yang lebih rendah pada suku kedua 2023, iaitu FGV Holdings Bhd, Hap Seng Plantations Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK),” katanya.

HLIB berpendapat bahawa kebanyakan syarikat perladangan berkemungkinan akan mencatatkan penurunan dalam pendapatan huluan mereka, terutamanya berikutan harga MSM yang jauh lebih rendah dan kos pengeluaran yang lebih tinggi yang muncul daripada kenaikan gaji minimum, kenaikan harga baja dan harga diesel yang lebih tinggi.

“Walaupun isu kekurangan buruh di ladang Malaysia mereda, hanya empat daripada enam penanam di bawah liputan kami yang mencatatkan pengeluaran BTS yang lebih tinggi, manakala FGV dan Sime Darby Plantation masih mencatatkan penurunan tahun ke tahun dalam pengeluaran BTS suku kedua 2023, masing-masing susut sebanyak 18.6 dan 1.9 peratus.

“Ini disebabkan keadaan cuaca yang kurang baik di ladang FGV dan produktiviti penuai yang kurang memberangsangkan,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata, setakat ini, harga MSM berada pada purata RM3,916 satu tan, justeru menyaksikan ia mengekalkan andaian harga MSM pada RM4,000 satu tan tahun ini.

Ketibaan fenomena El Nino, ditambah dengan permintaan berpotensi lebih kukuh berikutan peningkatan daya saing harga minyak sawit, ringgit yang lemah dan paras saham yang rendah di kalangan negara pengguna minyak sawit utama akan menyokong harga MSM pada separuh kedua 2023, katanya.

“Menuju ke 2024, kami mengekalkan unjuran harga MSM kami pada RM3,800 satu tan, berdasarkan andaian El Nino akan berubah menjadi sederhana dan akan berakhir menjelang akhir 2023,” katanya. — BERNAMA

Loading...
Terkini