
KUALA LUMPUR: Perolehan sektor perladangan dijangka lebih kukuh pada suku ketiga berikutan keluaran tandan buah segar (FFB) lebih tinggi dan harga stabil.
RHB Investment Bank Bhd dalam satu nota penyelidikan berkata, meskipun musim kemuncak mungkin sudah berakhir kepada syarikat perladangan Indonesia, namun syarikat Malaysia mungkin masih akan mencatat pengeluaran lebih tinggi sekurang-kurangnya selama satu hingga dua bulan lagi tahun ini.
“Syarikat perladangan tulen terus menjadi penerima manfaat daripada peningkatan harga yang dijangka berlaku mulai suku kedua tahun hadapan sebaik sahaja fenomena El Nino menjejaskan produktiviti tanaman. Kami kekalkan saranan ‘neutral’ untuk sektor ini,” kata bank pelaburan itu menerusi nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng dan Syahril Hanafiah.
RHB Investment Bank berkata, pengeluaran FFB kebiasaannya lebih tinggi suku ke suku disebabkan puncak musim pengeluaran, sedangkan harga MSM mendatar.
“Di Malaysia, pengeluaran FFB untuk syarikat yang kami liputi meningkat pada kadar purata 24.8 peratus suku ke suku pada suku keempat, manakala harga MSM semasa menguncup satu peratus pada suku ketiga.
“Di Indonesia, pengeluaran FFB suku ketiga 2023 untuk saham (syarikat perladangan sawit) di bawah liputan kami dianggarkan meningkat 18.5 peratus, manakala harga MSM dan cukai bersih bertambah lima peratus,” katanya.
“Sebaliknya, syarikat hiliran Malaysia mungkin memperlihatkan margin lebih baik suku ke suku ekoran persaingan mereda dari Indonesia.
“Kami mengesyorkan pendekatan perdagangan positif secara taktikal. Kami tidak membuat sebarang pindaan pada andaian harga MSM kepada RM3,900 satu tan bagi 2023 dan 2024.
“Kami terus menyukai syarikat perladangan Malaysia berbanding syarikat serantau kerana struktur cukai du Indonesia menyebabkan perolehan syarikat perladangan Indonesia menjadi kurang berdaya saing berbanding syarikat di Malaysia,” katanya.