comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tahap penggunaan amalan terbaik tadbir urus korporat dan kemampanan PLC kekal positif 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Syarikat senaraian awam (PLC) Malaysia terus menerima pakai amalan terbaik tadbir urus korporat seperti yang disyorkan dalam Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).

Ini termasuk amalan terbaik baharu yang diperkenalkan dalam semakan MCCG 2021, khususnya yang berkaitan dengan kemampanan, demikian menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) 2022 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang dikeluarkan hari ini..

“Tahap penggunaan tadbir urus korporat dan kemampanan oleh syarikat senaraian awam kekal positif dan PLC terus mengambil langkah proaktif dalam menangani risiko dan peluang kemampanan,” kata SC dalam satu kenyataan.

Antara langkah proaktif yang diambil termasuk memastikan lembaga pengarah dan pengurusan kanan menjalani latihan berkala bagi mengikuti perkembangan isu kemampanan berkaitan syarikat, dengan sebanyak 58 peratus daripada kalangan PLC mempunyai jawatankuasa khusus atau peranan dalam pengurusan kanan yang bertanggungjawab ke atas pengurusan strategik kelestarian untuk syarikat.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata beliau berpuas hati kerana PLC terus mempertingkat amalan terbaik tadbir urus korporat walaupun dalam persekitaran yang mencabar.

“Tadbir urus yang baik kekal sebagai asas perniagaan dan merupakan kunci untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti.

“Ini akan memupuk kemampanan dan membantu syarikat merealisasikan faedah jangka panjang termasuk mengurangkan risiko, merebut peluang pertumbuhan, meningkatkan nilai pemegang saham dan memenuhi jangkaan pemegang kepentingan yang berubah-ubah,” katanya.

Antara penemuan utama daripada CG Monitor adalah PLCC menetapkan sasaran pengurangan pelepasan, lebih ramai wanita dilantik sebagai pengarah bebas dan pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah.

SC mendapati PLC telah menetapkan dan komited kepada sasaran pengurangan pelepasan termasuk mencapai neutral karbon menjelang tahun 2030 serta sifar bersih menjelang 2050. Ini berdasarkan semakan SC terhadap 50 PLC yang terdiri daripada, antara lainnya, PLC besar yang beroperasi dalam tenaga, perladangan, dan sektor pengangkutan dan logistik.

CG Monitor juga melaporkan bahawa sebanyak 34 peratus individu yang dilantik sebagai ahli lembaga PLC pada 2022 adalah wanita, berbanding 23 peratus pada 2021.

Sebanyak 80 peratus daripada pengarah wanita yang dilantik adalah untuk jawatan pengarah bebas, mengurangkan kebimbangan bahawa peraturan mandatori untuk mempunyai sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita dalam lembaga pengarah akan membawa kepada pelantikan individu berkaitan seperti ahli keluarga.

Mengenai pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah, walaupun penerimaan keseluruhan MCCG menggalakkan dan ditambah baik dalam kualiti pendedahan untuk beberapa amalan terbaik, terdapat perkara yang masih boleh ditambah baik

“Khususnya, penggunaan amalan yang berkaitan dengan pendedahan imbuhan pengurusan kanan kekal rendah, dengan sedikit peningkatan pada 2022.

“Hanya 22 peratus (2021:21 peratus) daripada PLC mendedahkan imbuhan pengurusan kanan dalam kumpulan RM50,000 atau mengikut jumlah yang tepat,” katanya.

Pihak berkepentingan, terutamanya pelabur institusi, terus menyokong ketelusan dan penjajaran yang lebih baik antara gaji dan prestasi, termasuk Majlis Pelabur Institusi Malaysia seperti yang ditonjolkan dalam semakan terbaharu Kod Pelabur Institusi Malaysia.

“SC dan Bursa Malaysia akan menjalankan kajian yang lebih mendalam mengenai perkara ini,” kata suruhanjaya itu. — BERNAMA

Loading...
Terkini