comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tahun Naga Kayu petanda kebangkitan perniagaan, terutama industri berunsur api

 

Foto hiasan

Oleh: Afrina Romzi

PETALING JAYA: Tahun Baharu Cina kali ini datang sebagai Tahun Naga berunsurkan kayu, dengan warna merah yang dipercayai membawa tuah.

Dengan slogan, Tahun Kebangkitan Baharu yang diberikan oleh Ketua Penyelidik, Good Feng Shui Holdings Sdn Bhd, Kenny Hoo, ia dilihat membuka peluang lebih besar kepada industri untuk terus maju, meskipun berdepan liku-liku cabaran.

Unsur feng shui terbahagi kepada lima iaitu api, kayu, air, logam dan tanah.

Menurut Hoo, bagi tahun naga yang berunsurkan kayu, ia dijangka memberi manfaat besar kepada sektor berunsurkan api termasuk e-dagang, solar, elektrik dan elektonik, serta media penyiaran.

“Tahun 2024 ini kita memasuki satu lembaran baharu iaitu kitaran besar feng shui ke-9. Setiap kitaran ialah 20 tahun, kitaran yang ke-9 ini berunsur api dan api ini akan menambah baik, memberi satu pengaruh yang lebih baik termasuk dari segi saham dan perniagaan,” katanya kepada BuletinTV3.

Bagi industri kayu seperti kelapa sawit, perabot serta perubatan, mereka akan memasuki satu tahap yang mewah dengan banyak penawaran produk perkhidmatan.

Manakala, industri berkaitan air seperti logistik, perhotelan serta pelancongan akan berkembang susulan lebih ramai pelancong asing akan melawat Malaysia.

Bagaimanapun, industri berunsur logam termasuk perbankan, perlombongan dan kripto akan mengalami sedikit cabaran daripada dasar dan sistem baharu yang perlu diadaptasi, untuk memasuki satu lembaran baharu yang lebih baik.

Industri berkaitan tanah seperti hartanah dan pembinaan akan meraih kemunculan peluang baharu, selepas mengalami cabaran pada tahun-tahun sebelumnya. Contohnya, projek infrastruktur seperti jalan raya dan kereta api di Johor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, bulan Februari, April, Mei, Ogos dan Oktober dijangka akan lebih mencabar.

“Tapi turun naik misalnya untuk pelabur, mereka lebih suka, bila ada turun naik ada peluang untuk “beli rendah dan jual tinggi”. Jadi kami juga jangka tahun ini memang akan ada lebih banyak peluang untuk pelaburan,” jelas beliau berkenaan peluang daripada bulan-bulan yang dijangka mencabar.

Kajian beliau turut mendapati ringgit dijangka semakin pulih menjelang Oktober.

Selain itu, bulan yang baik dipercayai pada Mac, Jun, Julai, September, November, Disember dan Januari 2025. Antara kebaikannya adalah mudah untuk membuat keputusan penting berkaitan pelaburan dan perniagaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini