comscore
Tumpuan :
Detik Niaga

Tanggapan labur unit amanah tidak menguntungkan kurang tepat – Pengurus Kewangan

KUALA LUMPUR: Tanggapan bahawa pelaburan dalam dana unit amanah bagi mempelbagaikan portfolio daripada simpanan persaraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak menguntungkan adalah kurang tepat, kata perancang dan perunding kewangan.

Sebaliknya, pencarum perlu mempunyai ilmu pelaburan untuk menentukan portfolio pelaburan yang sesuai dan membaca prestasi pasaran tempatan dan luar negara dalam membuat keputusan pelaburan yang mampu menjana pulangan lumayan.

Ketua Pegawai Eksekutif KAC Wealth Sdn Bhd, Khairi Aizat Hasan, berkata berdasarkan pemerhatiannya, berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik COVID-19 memperlihatkan prestasi pelaburan risiko tinggi pulangan tinggi terkesan dengan situasi ekonomi terutama pada awal, pertengahan dan pasca COVID-19.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang meletakkan pelaburan dalam portfolio berisiko tinggi masih lagi berdepan kerugian, justeru membuatkan mereka yang membandingkan dengan dividen KWSP sekitar empat hingga lima peratus dilihat lebih baik.

“Kebanyakan yang merungut adalah portfolio risiko tinggi pulangan tinggi. Namun, bagi mereka yang memilih portfolio sederhana dan konservatif masih mendapat pulangan berdaya saing.

“Saya juga mengeluarkan simpanan KWSP untuk dilabur dalam dana dua dana berbeza. Alhamdulillah dua dana itu positif dengan masing-masing 17 peratus dan 23 peratus,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian bagi mengulas rungutan ahli KWSP terhadap pulangan pelaburan mereka dalam unit amanah yang merugikan berbanding mengekalkan simpanan dalam KWSP.

Mengulas lanjut, Khairi Aizat berkata, mereka yang ingin melabur perlu mempunyai ilmu pengurusan portfolio pelaburan supaya lebih bersedia dan faham dengan keadaan serta apa yang berlaku dalam pasaran tempatan dan luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China.

Beliau berkata, dengan mempunyai pengetahuan asas dalam pembahagian portfolio menyebabkan dirinya mempunyai kelebihan dalam menjana pulangan yang lebih baik menerusi portfolio pelaburan yang dipilih berbanding hanya menikmati pulangan stabil di KWSP semata-mata.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini