
PUTRAJAYA: Jumlah pekerjaan yang ditawarkan pada suku kedua tahun ini meningkat sebanyak 2.4 peratus kepada 8.83 juta jawatan berbanding 8.62 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lalu, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata trajektori positif pasaran buruh di Malaysia berterusan sehingga suku kedua tahun ini, sekali gus menunjukkan permintaan yang berterusan.
“Dengan peningkatan sebanyak 208,100 jawatan dalam sektor ekonomi, bilangan jawatan mencapai 8.83 juta, melebihi bilangan pada tahun sebelumnya iaitu 8.62 juta yang dicatatkan pada suku kedua 2022.
“Berikutan ini, trend peningkatan dalam bilangan jawatan diisi dapat dilihat meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 8.64 juta jawatan pada suku kedua 2023,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, Mohd Uzir berkata bilangan kekosongan jawatan mengalami pertumbuhan negatif, menurun sebanyak 0.9 peratus kepada 189,600 kekosongan daripada 191,300 pekerjaan pada suku kedua 2022.
“Dalam tempoh ini, kadar jawatan diisi dan kekosongan jawatan masing-masing merekodkan 97.9 peratus dan 2.1 peratus, mencerminkan pasaran buruh yang seimbang dan berdaya saing,” katanya.
Beliau menjelaskan, semua sektor ekonomi menunjukkan pertumbuhan positif tahun ke tahun dengan perlombongan & pengkuarian menjadi penyumbang utama melalui kadar pertumbuhan tertinggi sebanyak 3.6 peratus, diikuti oleh pembuatan (3.1 peratus) dan pertanian (3.0 peratus).
“Melihat kepada pecahan pekerjaan mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar bagi jawatan diisi dengan merekodkan 4.55 juta jawatan, merangkumi 52.7 peratus daripada jumlah jawatan diisi,” katanya.
Menurut DOSM, Malaysia mencatatkan peningkatan pewujudan jawatan yang lebih banyak pada suku tahun ini, dengan sejumlah 31,900 jawatan baharu bagi memenuhi permintaan yang meningkat berikutan pemulihan ekonomi.
“Mengikut kategori kemahiran, kebanyakan pewujudan jawatan adalah dalam kategori separuh mahir dengan menyumbang 59.6 peratus (19,000 pekerjaan) diikuti oleh mahir dengan 29.4 peratus (9,400 pekerjaan) dan berkemahiran rendah (11 peratus; 3,500 pekerjaan).
“Mengikut pecahan aktiviti ekonomi, sektor perkhidmatan menjadi penyumbang utama bagi pewujudan jawatan dengan 51.6 peratus (16,500 pekerjaan) terutamanya dalam subsektor perdagangan borong & runcit (8,500 pekerjaan).
“Sektor pembuatan menyusul dengan 10,100 jawatan baharu (31.5 peratus) dengan subsektor produk elektrik, elektronik, dan optikal menajdi penyumbang terbesar dalam sektor ini dengan 3,500 pewujudan jawatan,” katanya.
Mohd Uzir berkata, secara keseluruhan permintaan buruh dalam sektor ekonomi pada suku tahun dikaji terus menunjukkan trend positif walaupun menghadapi risiko kemelesetan global, yang menjurus kepada pertambahan peluang pekerjaan dan mengukuhkan pasaran buruh di Malaysia.