
Oleh:Juliana Pija Ismail
KUALA LUMPUR:Tekanan terhadap mata wang ringgit berbanding dolar Amerika diharap berkurangan apabila isu siling hutang Amerika Syarikat (AS) selesai tidak lama lagi.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan, kerajaan sedang menunggu perkembangan terkini berhubung isu siling hutang AS yang dijangka diselesaikan dalam dalam tempoh lima hingga enam hari lagi sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum tarikh akhir, kita harap perkara itu selesai, maka ringgit harapnya tidak sebagaimana apa yang berlaku hari ini,” katanya pada sidang media selepas lelepas selesai mengadakan lawatan rasmi ke Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendengar taklimat berhubung kedudukan pasaran modal dalam negara.
Kerajaan AS sedang berusaha menyelesaikan isu siling hutang itu secepat mungkin, manakala Presiden AS Joe Biden juga menyebut bahawa pentadbirannya akan cuba menyelesaikan isu tersebut sebelum 6 Jun depan.
Menurut laporan media antarabangsa, tarikh akhir berhubung kemelut siling hutang AS dilanjutkan sehingga 5 Jun depan sebelum negara itu berdepan masalah kehabisan aliran wang tunai.